Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Ibu bapa mempunyai anak yang bersekolah di asrama penuh digesa memantau perubahan sikap anak masing-masing supaya insiden buli tidak berlaku.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selain itu warden asrama dan guru juga perlu memainkan peranan untuk bertindak sekiranya menyedari perubahan pada diri pelajar.

"Kadang-kadang pelajar yang berada di asrama ini, buli mungkin satu cara untuk dia melepaskan perasaan tidak berpuas hati dengan sesiapa barangkali dengan keluarga atau memang tidak mahu masuk asrama tetapi dipaksa.

"Jadi dia melepaskan tekanannya itu dengan cara memukul orang, keluarga yang ada anak di asrama kena memahami perubahan sikap anaknya, begitu juga guru dan warden asrama," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu insiden buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar baru-baru ini.

Saarani menegaskan, gejala buli tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkait rapat dengan isu dalaman seseorang individu khususnya pelajar terbabit.

"Pada saya orang yang sanggup memukul orang ini ada 'something wrong', dia tidak mempunyai perasaan dan emosinya tidak stabil, ini sangat bahaya.

"Saya harap ia tidak berulang, ini kerana berkali-kali kita tengok (kejadian buli). Apa yang saya pelik, orang yang merakam sampai hati pula melihatnya, sepatutnya orang yang merakam dan kawan yang berada di sekitar akan membantu meredakan," katanya.

Hari ini media melaporkan polis sudah menahan enam suspek kes buli berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, seperti yang tular di media sosial semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 2:11 PM
DATUK Seri Saarani Mohamad hadir merasmikan Ipoh International Art Festival 2021 di Koloni Karyawan Amanjayai (PORT), Jalan Sultan Azlan Shah. FOTO Balqis Jazimah Zahari
DATUK Seri Saarani Mohamad hadir merasmikan Ipoh International Art Festival 2021 di Koloni Karyawan Amanjayai (PORT), Jalan Sultan Azlan Shah. FOTO Balqis Jazimah Zahari