BAJU pelajar  asrama di Kuantan, Pahang, yang diconteng dan digunting. FOTO ihsan pembaca
BAJU pelajar asrama di Kuantan, Pahang, yang diconteng dan digunting. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis sudah merakam keterangan lima individu berhubung dakwaan kes buli pelajar di sekolah berasrama di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada guru warden sekolah berkenaan, 8 Ogos lalu.

"Kita mengambil keterangan lima individu termasuk individu yang mendakwa dibuli, individu didakwa membuli, pentadbir sekolah serta warden asrama terbabit.

"Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat, namun siasatan berhubung kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaaan.

"Sebarang perkembangan dalam kes ini akan kita maklum," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Terdahulu, hantaran wanita yang mendakwa anaknya yang juga pelajar di sekolah terbabit menjadi mangsa buli sejak Jun lalu, tular di media sosial, hari ini.

Menurut wanita terbabit, pakaian anaknya serta beberapa pelajar lain yang diletakkan di ampaian asrama sekolah diconteng dan digunting selain mereka diugut selepas perkara itu dimaklumkan kepada pihak sekolah.

Wanita itu mendakwa tiada tindakan diambil oleh pihak pengurusan sekolah asrama berkenaan selepas aduan dibuat sebelum beliau membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 12:57 PM