FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mahu jawatan warden sepenuh masa di sekolah berasrama diwujudkan.

Presidennya Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, warden berkenaan perlulah dalam kalangan individu yang terlatih, mendiami sepenuh masa asrama serta mempunyai pelbagai kebolehan termasuk mampu adaptasi kemahiran sistem pengesanan awal yang membolehkan kes buli dicegah.

Beliau berkata, bagi tujuan itu juga, skim perkhidmatan yang menarik adalah perlu untuk jawatan warden sepenuh masa di asrama sekolah.

"Rasanya sudah tidak perlu lagi memberi tugasan sampingan sebagai warden di dalam kalangan guru atau pendidik.

"Apa pun semua guru perlu diingatkan dan ditekankan sebagai guru disiplin. Janganlah guru lepas tangan kepada guru disiplin atau Hal Ehwal Murid untuk membendung disiplin di sekolah.

Beliau mengulas kes buli membabitkan pelajar tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, baru-baru ini.

Siasatan awal polis mendapati kejadian buli terbabit berlaku antara jam 1 hingga 2 pagi, 9 Disember lalu, membabitkan mangsa dengan tujuh suspek remaja lain yang semuanya adalah pelajar tingkatan satu berusia 13 tahun.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, jika berlakunya buli di sekolah, siasatan rapi, bebas dan profesional perlu dijalankan segera.

"Bagi mereka yang menyembunyikan kes buli, tindakan tatatertib dijalankan tanpa belas ihsan untuk memastikan suasana pengajaran dan pembelajaran terus berjalan lancar serta menyeronokkan.

"Jumlah guru kaunseling terlatih juga perlu sesuai dengan nisbah pelajar bagi setiap sekolah sama ada di peringkat sekolah rendah atau menengah," katanya.

Selain itu, katanya, pendekatan menyeluruh seperti kaunseling, agama, psikologi, bimbingan dan psikiatri perlu diusahakan kepada pembuli dan pemangsa termasuk untuk ibu bapa atau penjaga.

Menurutnya, usaha pemulihan berterusan perlu diutamakan kepada pihak terbabit daripada sekadar hukuman.

"Apa pun hukuman setimpal termasuk kerja sosial yang dapat menginsafkan serta memperbetulkan sikap positif serta taubat amat diperlukan.

"Kes buli di MRSM yang tular baru-baru ini adalah satu lagi 'kejutan' terhadap disiplin di sekolah yang seolah-olah belum terkawal walaupun terpinggir, segelintir dan bermusim.

"Biar apa pun alasan dan sebab musababnya, isu buli perlu ditangani segera oleh semua pihak. Dibendung dan tidak berulang kerana dibimbangi akan mempengaruhi pelajar lain seterusnya membantutkan pengajaran dan pembelajaran," katanya.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 6:52 PM