Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Mewujudkan jawatan warden sepenuh masa di sekolah berasrama adalah perjuangan sejak sekian lama oleh pihak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Presiden NUTP Aminuddin Awang berkata, guru yang menyandang tugas warden menjalankan tugas hakiki mengajar di sekolah namun pada masa sama menunaikan tanggungjawab menjaga dan mengawasi murid asrama sepanjang waktu.

Dengan kadar elaun hanya RM240, katanya, guru merangkap warden itu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa saja kejadian yang berlaku ke atas murid asrama tanpa mengira masa.

"Disebabkan bebanan tugas itu NUTP sudah mendesak sejak dulu supaya jawatan warden asrama sepenuh masa diwujudkan dan adalah sangat wajar disegerakan.

"Permasalahan ini juga sudah ada dalam pengetahuan dan makluman pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Majlis Amanah Rakyat (Mara) kerana pihak NUTP berkali-kali membangkitkan isu ini," katanya.

Beliau mengulas kes buli membabitkan pelajar Tingkatan Satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak.

Setakat semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, polis sudah menahan enam suspek berusia 13 tahun.

Siasatan awal polis mendapati kejadian buli terbabit berlaku antara jam 1 hingga 2 pagi pada 9 Disember lalu membabitkan mangsa dengan tujuh suspek remaja lain yang semuanya adalah pelajar Tingkatan 1 berusia 13 tahun.

Mengulas lanjut kejadian itu, Aminuddin berkata, MRSM berada di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan bukan di bawah KPM.

"Jawatan baharu seperti warden sepenuh masa di sekolah yang dicadangkan NUTP bukan juga dalam bidang kuasa KPM atau Mara tetapi di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Justeru, besar harapan NUTP agar pihak JPA dapat memberikan pertimbangan serius untuk mewujudkan jawatan warden sepenuh masa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 10:24 AM