PESERTA Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia mendengar penerangan mengisi borang temu duga.
PESERTA Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia mendengar penerangan mengisi borang temu duga.
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Lebih 24,000 jawatan kosong menanti mereka yang mencari pekerjaan di Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia selama tiga hari bermula semalam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata, karnival terbuka kepada orang ramai anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, PERKESO sempena dengan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Menurutnya, terdapat sekurang-kurangnya 75 majikan dari pelbagai sektor dan industri yang akan mengambil bahagian dalam aktiviti temu duga secara bersemuka termasuklah syarikat besar.

"Selain sesi temu duga, antara perkhidmatan pekerjaan lain disediakan di karnival ini termasuklah bantuan pendaftaran ke Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs, bengkel penyediaan resume, taklimat kerjaya dan bimbingan carian pekerjaan secara percuma oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO.

"Mereka yang ingin sertai karnival ini, boleh melakukan pra-pendaftaran menerusi pautan www.myfuturejobs.gov.my/careerfair atau hubungi nombor hotline pendaftaran PERKESO di talian 019-2503565 / 019-6079532 / 019-6078905," katanya.

Dr Mohammed Azman berkata, apa yang menariknya dalam penganjuran karnival pekerjaan kali ini, pihaknya mengetengahkan konsep hibrid selain aktiviti fizikal di sini PERKESO turut mengadakan aktiviti ini secara dalam talian khusus bagi pencari kerja yang tidak dapat hadir secara fizikal.

"Alhamdulillah, kita dapat lihat penglibatan daripada banyak kumpulan. Dalam kalangan majikan, kita mendapat kerjasama daripada sekurang-kurangnya 75 majikan yang mengambil bahagian dalam karnival ini daripada pelbagai industri termasuk syarikat besar dan ternama seperti ExxonMobil, Prasarana, KPMG, UOA Group dan lain-lain.

"Penganjuran karnival ini adalah komitmen berterusan kami dalam membantu merancakkan semula ekonomi negara dan memberi ruang serta peluang kepada masyarakat umum untuk mencari pekerjaan lebih-lebih lagi ketika tempoh pandemik Covid-19 yang masih belum reda," katanya.

DR Mohammed Azman (tengah) beramah mesra dengan peserta Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia di  Kuala Lumpur, semalam.
DR Mohammed Azman (tengah) beramah mesra dengan peserta Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, penuntut lulusan Diploma Kemahiran Malaysia dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat, Mohd Shahrul Hafiz Mat Sapar, 35, berkata, dia mengetahui mengenai penganjuran karnival ini melalui media sosial Facebook (FB).

"Saya yang baru selesai menjalani latihan pratikal komputer rangkaian mengambil keputusan datang mencuba nasib di sini hari ini.

"Saya keluar dari rumah di Sungai Buloh seawal jam 8 pagi dan datang ke sini menggunakan pengangkutan awam Transit Aliran Massa (MRT) dan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) bersama rakan," katanya yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah penglihatan dan fizikal.

Sementara itu, Hawa Mas Azmar Ahmad, 33, pula berkata, dia menerima emel dari PERKESO untuk datang ke karnival ini untuk sesi kaunseling dan mendapatkan maklumat pekerjaan apa yang sesuai dengan kelulusan pendidikannya.

"Baginya karnival ini bagus kepada yang ingin mencari pekerjaan kerana melalui sesi kaunseling itu dapat mengetahui kemahiran yang ada dan peluang apa yang boleh digunakan untuk mendapat pekerjaan," katanya yang berkelulusan Sarjana Farmaseutikal Sains.

Muhammad Irfan Danial Baharudin, 24, pula berkata, karnival seperti ini lebih mudah kerana dapat terus ditemuduga berbanding mengisi secara dalam talian kerana tidak tahu bila akan dipanggil untuk ditemuduga.

"Saya mengetahui karnival ini dari media sosial dan hari ini terus datang ke sini dengan memandu kereta dari Seremban untuk mencuba nasib dan berharap akan mendapat rezeki diterima bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 7:15 AM