Pencari kerja mendapatkan bantuan kakitangan Perkeso ketika Karnival Kerjaya MYFutureJobs, baru-baru ini. - FOTO Perkeso
Pencari kerja mendapatkan bantuan kakitangan Perkeso ketika Karnival Kerjaya MYFutureJobs, baru-baru ini. - FOTO Perkeso
Muhamad Shaifullah Tayep

Kemelut wabak Covid-19 mungkin sudah mereda, namun tempiasnya masih melarat kerana ramai yang hilang mata pencarian sehingga menjejaskan kehidupan seharian.

Lebih menyedihkan apabila ikhtiar bersilih ganti demi untuk kembali dilamar ke dunia pekerjaan menemui jalan buntu, sekali gus menyebabkan ada segelintir masyarakat hampir mengibarkan bendera putih berbanding bangkit semula.

Berkongsi pengalaman sedemikian, Muhd Hafizin Zarif Kadir, 27, terpaksa mengharungi tempoh sembilan bulan tanpa kerja dan melakukan pekerjaan sambilan selepas diberhentikan kerana syarikat melakukan penstrukturan semula.

Beliau yang mempunyai kemahiran dalam bidang Pentadbiran Muamalat dari Universiti Sains Islam Malaysia mengakui hadir puluhan temu duga kerja namun kebanyakannya tidak memberikan khabar gembira.

"Pelbagai temu duga kerja termasuk yang lain daripada bidang saya hadiri, tetapi kebanyakannya tiada maklum balas dan panggilan susulan daripada pihak syarikat," katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Namun, selepas mengunjungi Karnival Kerjaya MYFutureJobs Negeri Kelantan, beliau ditawarkan pekerjaan dan mula bekerja sebagai perintis pengurusan di Mr. D.I.Y TRADING SDN BHD.

"Saya bersyukur dan gembira, akhirnya saya kembali ke alam pekerjaan dan boleh menyara keluarga kecil saya.

"MR. D.I.Y TRADING SDN BHD banyak mengajar saya tentang komunikasi, pengurusan dan bagaimana untuk memahami setiap kakitangan dan pelanggan ketika melakukan urusan pembelian," katanya.

Beliau berkata, kunjungannya ke Karnival Kerjaya MYFutureJobs sangat membantu ditambah kakitangan yang memudahkan urusan pemohon, selain perkhidmatan terbaik ditawarkan sepanjang tempoh karnival berlangsung.

"Saya berterima kasih kepada kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) iaitu Rabiatul Aqilah Fatini Ibrahim yang banyak membantu saya sepanjang proses permohonan, temu duga dan selepas mendapat kerja.

"Bagi saya, karnival seperti ini perlu diteruskan supaya peluang kerjaya dapat direbut dan menambah tawaran pekerjaan yang berimpak tinggi," katanya.

Usia bukan penghalang

Image

Lain pula buat Ahmad Zarif Zakaria, 37, yang terpaksa berdepan majikan yang meletakkan syarat usia pemohon pekerjaan haruslah muda, misalnya di rangkaian restoran makanan segera.

Beliau terpaksa menganggur selama hampir dua bulan akibat kebanyakan syarikat meletakkan syarat berkenaan, sebelum menyandang jawatan sebagai operator mesin di Ain Medicare Sdn Bhd selepas menerima tawaran kerja melalui laman web MYFutureJobs.

"Sepatutnya, majikan perlu melihat dan mengambil kira hal penting dan keperluan individu untuk meneruskan kehidupan serta tanggungjawab mereka terhadap keluarga sendiri," katanya.

Pada mulanya, beliau menerima tawaran kerja sebagai pengawal keselamatan, tetapi ditawarkan jawatan lain oleh penemuduga.

"Saya cuba isi jawatan mudah, bersesuaian dan berdekatan dengan rumah kerana jika tempat kerja jauh susah untuk menghantar anak ke sekolah.

"Selepas ditemuduga, penemuduga melihat sijil dan pengalaman yang saya ada. Terus saya ditawarkan jawatan lain iaitu pengendali mesin," katanya.

Image

Karnival Kerjaya MYFutureJobs anjuran Perkeso akan diteruskan di negeri Kelantan pada 5 hingga 6 Ogos 2023 dari 9 pagi hingga 5 petang di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu.

Buat mereka yang sedang mencari kerja, jangan lepaskan peluang ini untuk menghadiri temu duga bersama majikan dan pemain industri, siri seminar kerjaya dan Pameran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) serta mendapatkan bantuan dalam penyediaan resume.

Layari laman web MyFutureJobs untuk maklumat lanjut mengenai Karnival Kerjaya MYFutureJobs.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 2:41 PM