FOTO hiasan
FOTO hiasan
BERNAMA

Kuching: Bakal calon yang ingin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 diseru supaya membuat semakan awal pengisian borang penamaan dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata ia bagi memudahkan proses penamaan calon nanti dan bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal.

"Perlu diingatkan bahawa resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran. Ini adalah bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar," katanya dalam kenyataan hari ini.

SPR menetapkan 18 Disember ini sebagai hari pengundian PRN Sarawak, hari penamaan calon pada 6 Disember manakala pengundian awal pada 14 Disember.

Sementara itu, Ikmalrudin berkata hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon (PPC) pada hari berkenaan, dan penyokong parti politik yang diwakili bakal calon tidak dibenarkan hadir ke PPC.

"Kertas penamaan calon PRN Sarawak boleh dikemukakan bermula dari jam 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 82 PPC ditetapkan pada hari penamaan calon Isnin ini (6 Disember). Kertas penamaan calon boleh dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong; atau mana-mana dua orang daripada mereka; atau mana-mana seorang daripada mereka," katanya.

Katanya, bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

Ikmalrudin berkata, aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.

Beliau turut menyeru semua calon dan parti politik yang terlibat supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan yang dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada hari penamaan calon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 10:07 AM