FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching : Tiada perarakan mengiringi calon yang bertanding diadakan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), Isnin ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia berikutan ketetapan melarang sebarang aktiviti berkumpul sepanjang proses berkenaan.

Beliau berkata, hanya calon, pencadang dan penyokong calon sahaja dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon (PPC).

"Penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan hadir ke PPC.

"Aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ikmalrudin berkata, bagi memudahkan proses penamaan calon, SPR meminta bakal calon supaya mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang itu dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon.

"Selain itu, bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.

"Ini adalah untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar," katanya.

Menurutnya lagi, kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula jam 9 pagi sehingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di 82 PPC.

"Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon.

"SPR berharap proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam," katanya.

Justeru katanya lagi, SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terbabit supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 8:01 AM