GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Gerai Prihatin Rakyat yang menjual barangan keperluan harian pada harga murah di seluruh negara akan dilaksanakan segera bagi membantu meringankan beban rakyat.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau mengikuti dengan dekat perkembangan semasa berkenaan isu kenaikan harga barang di Malaysia terutamanya barang makanan.

Menurutnya, data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan meningkat sebanyak 12.3 peratus pada September 2021, berbanding sembilan peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

"Ini akan menyebabkan peningkatan inflasi untuk beberapa bulan akan datang yang tentunya akan membebankan pengguna.

"Selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, saya memandang serius isu kenaikan harga barang yang pada hemat saya akan menjejaskan proses pemulihan negara.

"Rakyat yang baru mula dapat menarik nafas lega selepas sektor ekonomi dibuka semula, kini terbeban dengan masalah kenaikan harga barang yang tentunya menjejaskan kehidupan mereka," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, MPN dalam sidang yang lalu sudah meneliti kesan ke atas keupayaan sektor ekonomi untuk bangkit pulih sebaik ekonomi negara dibuka semula, terutamanya dari sudut ketidakupayaan penawaran untuk memenuhi permintaan yang boleh menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Dalam hal itu, katanya, isu kekurangan tenaga kerja yang meruncing dalam pelbagai sektor dan masalah kecairan dihadapi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sudah diberikan penekanan khusus oleh MPN.

"Sehubungan itu, MPN sudah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu tenaga kerja bagi mengenal pasti langkah penyelesaian segera yang boleh dipertimbang dan dilaksanakan oleh kerajaan.

"Jawatankuasa ini diterajui Kementerian Sumber Manusia dan dianggotai pelbagai agensi berkenaan akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN dalam mesyuarat yang akan datang.

"Selain itu, MPN turut menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu kekangan aliran tunai dan pembiayaan bagi PMKS untuk mencari penyelesaian segera isu kecairan yang dihadapi PMKS dalam tempoh pemulihan ini," katanya.

Beliau berkata, langkah itu dijangka dapat membantu PMKS memulakan perniagaan atau operasi dengan segera sekali gus meningkatkan keupayaan penawaran.

Jawatankuasa itu katanya, yang diterajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN.

Muhyiddin berkata, beliau berharap agensi penguat kuasa akan terus melipatgandakan usaha penguatkuasaan untuk memastikan pengeluar, pembekal dan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah.

"Tindakan undang-undang yang tegas mesti diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 ke atas mereka yang ingkar.

"Saya juga berpandangan sebuah Jawatankuasa Kabinet wajar ditubuhkan untuk menangani isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

"Bagi membantu meringankan beban rakyat pada waktu yang sukar ini, saya selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sudah memutuskan supaya PN menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat yang menjual barangan keperluan harian pada harga murah di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee merangkap Ahli Majlis Tertinggi PN dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jawatankuasa di peringkat nasional bagi menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 3:43 PM