MUHYIDDIN. FOTO BERNAMA
MUHYIDDIN. FOTO BERNAMA
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) tepat memandangkan pengalamannya menerajui kerajaan selama 17 bulan ketika mendepani pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang berkata, fokus kini perlu diberikan bagi memulihkan sektor ekonomi yang terjejas teruk.

Menurutnya, kesihatan awam rakyat dilihat berada pada landasan betul kerana sudah mampu mencapai kadar vaksinasi seperti ditetapkan.

"Ekonomi adalah sektor utama yang perlu dipulihkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjejaskan banyak peniaga terutamanya Bumiputera.

"Ada beberapa penambahbaikan yang boleh dilaksanakan MPN seperti pembukaan penuh sektor ekonomi dengan syarat pekerja sudah divaksin dua dos.

"Mereka juga boleh dibenarkan bekerja selama lapan jam dengan kapasiti 60 hingga 80 peratus," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, selaku Pengerusi MPN, Muhyiddin memastikan Malaysia dapat bangkit segera dari semua aspek pasca Covid-19.

Menurutnya, MPN juga perlu mewujudkan dasar khusus berkenaan proses pemulihan di peringkat pengajian tinggi.

"Ini susulan kenyataan Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) menyatakan bahawa kita perlu hidup dengan Covid-19 dan ianya dianggap sebagai endemik.

"Maka MPN perlu mewujudkan dasar yang holistik dalam proses pemulihan di peringkat pengajian tinggi.

"Mahasiswa mesti dipanggil sebagai satu elemen yang boleh memberikan pandangan secara terus kepada MPN.

"MPN juga diharapkan bukan sahaja dapat menangani isu kebajikan mahasiswa, tetapi juga berkenaan aspek kesihatan mental mahasiswa kerana pandemik menyebabkan kesihatan mahasiswa terjejas teruk sehingga mengganggu proses melahirkan graduan yang berkualiti," katanya.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan Muhyiddin dilantik sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri.

Pelantikan ini juga dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 4:24 PM