TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Bisnes HM
bisnes@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju membabitkan wakil parti pembangkang dan pakar dari pelbagai industri untuk berkongsi pandangan dan pengalaman bagi memantapkan keahlian MPN serta pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bersifat dinamik dan perlu diadaptasi berdasarkan situasi semasa.

Menteri Kewangan yang juga Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keanggotaan wakil-wakil parti pembangkang, tokoh-tokoh dan pakar-pakar dari pelbagai sektor ini akan memantapkan lagi keahlian MPN.

"MPN berharap kepelbagaian pendapat dan kepakaran ini dapat menyumbang kepada antara lainnya, pemerkasaan sektor kesihatan; peningkatan usaha vaksinasi; penyelarasan, pelaksanaan dan keberkesanan SOP, serta sokongan dan bantuan kerajaan dalam tempoh pemulihan," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat pertama MPN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Selain Muhyiddin dan Tengku Zafrul, MPN turut dianggotai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin; Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaludin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad.

MPN turut dianggotai wakil dari Pakatan Harapan, Warisan dan Pejuang selain wakil kerajaan Sabah dan Sarawak.

MPN turut mengalu-alukan kesediaan dan pembabitan pakar-pakar dari pelbagai industri, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pakar-pakar ekonomi, sosial dan kesihatan yang telah bersetuju untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing.

Antara tokoh industri yang terbabit dalam MPN adalah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Tan Sri Azman Mokhtar, Tan Sri Tony Fernandes, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan Datuk Michael Kang.

Tengku Zafrul berkata, MPN juga akan menyampaikan maklumat mengenai aspek-aspek PPN kepada rakyat secara telus dan mudah difahami melalui portal rasmi PPN yang akan dilancarkan pada 26 Julai nanti.

PPN adalah strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19 yang merangkumi empat fasa dan akan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Tiga indikator adalah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 6:23 PM