Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Pembukaan sepenuhnya sempadan negara akan diputuskan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. selepas meneliti perkara itu yang dijangka dibentangkan di Kabinet atau mesyuarat bersama Jawatankuasa Khas Pemulihan Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya mengalu-alukan syor yang yang dikemukakan Majlis Pemulihan Negara (MPN) berhubung pembukaan sepenuhnya sempadan negara.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya bersama anggota kuartet yang terdiri daripada Menteri Kesihatan, Menteri Kewangan dan ahli jawatankuasa lain yang terbabit tidak diberikan mandat untuk membuat keputusan berkenaan.

"Sebenarnya, apa yang dibincangkan di peringkat kuartet, kita tidak boleh membuat sebarang keputusan, begitu juga di peringkat MPN.

"Jadi perkara ini (pembukaan sempadan negara), kita akan bawa kepada kabinet atau mesyuarat bersama Jawatankuasa Khas Pemulihan Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri untuk membuat keputusan muktamad," katanya ketika diminta mengulas mengenai pembukaan sempadan negara yang disyorkan MPN.

Terdahulu, beliau hadir ke Majlis Pengenalan Pesawat AW139 dan meninjau projek perumahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sudah selesai dinaik taraf di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, tidak timbul isu perbezaan pandangan atau ketiadaan komunikasi antara MPN dengan Menteri Kuartet Covid-19 berhubung perkara itu.

"Ini adalah perkara biasa jika ada pihak cuba melaga-lagakan kita. Ia tidak pelik dan boleh dijawab dengan mudah kerana di bawah Jawatankuasa Pemulihan Negara ini, ia turut dianggotai Menteri Kesihatan, Menteri Kanan Pertahanan dan Menteri Kewangan yang juga ahli kuartet.

"Jadi, nak kata kita tidak berkomunikasi, ahlinya sama. Cuma di peringkat jawatankuasa pemulihan ini, mereka tiada mandat untuk membuat keputusan," katanya.

Kelmarin, MPN mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, syor adalah langkah penting bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan, serta mampu menarik pelabur asing ke negara ini.

Namun katanya, pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang berdasarkan penilaian risiko semasa penularan Covid-19 dalam negara.

Jelasnya, ujian saringan Covid-19 perlu dilakukan sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan berpandukan syor daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan KKM akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

HISHAMMUDDIN (tengah) bergambar bersama Panglima Tentera Udara Jeneral  Tan Sri Ackbal Abdul Samad (dua kiri) serta para pegawai TUDM pada Program Pengenalan Pesawat AW139 TUDM di Pangkalan Udara Butterworth. FOTO DANIAL SAAD
HISHAMMUDDIN (tengah) bergambar bersama Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad (dua kiri) serta para pegawai TUDM pada Program Pengenalan Pesawat AW139 TUDM di Pangkalan Udara Butterworth. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 4:19 PM