PENGUSAHA PMKS berdepan dengan kenaikan harga barangan asas yang mendadak, kejatuhan nilai ringgit serta kenaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak empat kali tahun ini.
PENGUSAHA PMKS berdepan dengan kenaikan harga barangan asas yang mendadak, kejatuhan nilai ringgit serta kenaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak empat kali tahun ini.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pengusaha perusahan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) antara golongan paling terjejas akibat Covid-19 hingga menyaksikan mereka mengalami kesukaran untuk meneruskan perniagaan.

Namun, dengan adanya bantuan dan insiatif disalurkan kerajaan dilihat membantu pemulihan operasi PMKS serta berdepan dengan cabaran semasa.

Ketika Covid-19, sebanyak RM6.08 bilion peruntukan melalui skim Geran Khas Prihatin (GKP) disalurkan kepada lebih sejuta pengusaha PMKS bagi membantu meringankan beban mereka.

Kini, pengusaha PMKS berdepan pula dengan kenaikkan harga barangan asas yang mendadak, kejatuhan nilai ringgit serta kenaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak empat kali tahun ini, sekali gus berisiko merencatkan pemulihan ekonomi negara.

Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerap membincangkan isu aliran tunai pengusaha PMKS ini, sekali gus mengeluarkan cadangan supaya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) mempertimbangkan lanjutan pemberian moratorium kepada golongan itu.

Bagi pengusaha sektor pembinaan, pembekal dan penyelenggaraan elektronik, Nasrun Saad, 33, ketika Covid-19 pendapatannya terjejas sebanyak 50 peratus.

"Saya dan rakan kongsi terpaksa membuang lima pekerja kerana tidak mampu membayar gaji mereka disebabkan perniagaan kami merosot.

"Tetapi kami bersyukur dengan adanya bantuan seperti GKP dan moratorium ia memang amat membantu ringankan beban kami terutama dalam aspek membayar sewa, penyelenggaraan peralatan serta kelangsungan operasi," katanya.

Katanya, dia bersetuju jika moratorium khas untuk PMKS dilanjutkan kerana kini berdepan cabaran kenaikan harga barang dan kenaikan inflasi.

"Saya faham isu inflasi ini satu dunia, tetapi dengan langkah proaktif diambil kerajaan kita amat membantu golongan terjejas seperti PMKS ini bertahan dan mendepani cabaran semasa ini.

"Saya setuju jika moratorium khas untuk PMKS ini dilanjutkan kerana dengan kenaikan harga barang dan kesan kenaikan OPR tahun ini, saya berasakan ini antara pilihan terbaik untuk memastikan kita dapat bertahan," katanya.

Sementara itu, S Narty Raitom, 38, yang mengusahakan produk kraftangan berasaskan anyaman buluh di pekan Keningau, Sabah sejak lebih 20 tahun lalu berkata, bantuan diberikan kerajaan sepanjang Covid-19 amat membantu kelangsungan perniagaanya yang terjejas.

"Perniagaan saya sangat terkesan kerana kurangnya tempahan pelanggan hingga terpaksa membuang dua pekerja daripada empat pekerja.

"Namun, saya syukur bantuan diterima seperti GKP sedikit-sebanyak membantu saya dari segi pusingan modal terutama untuk membeli bahan mentah.

"Jika moratorium khas untuk PMKS ini dilanjutkan, ia amat membantu pengusaha memerlukan terutama mereka mereka yang mempunyai kekangan kewangan dan masalah hutang banyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 6:30 AM