Syaherah Mustafa


Pasir Puteh: Siapa sangka walaupun menyiapkan tugasan atau menghadiri kelas dalam talian menggunakan telefon bimbit kerana tidak mampu membeli komputer riba, seorang penuntut universiti mampu memperoleh Anugerah Dekan.

Mohd Zuraidi Zulkifli, 21, penuntut semester kedua Diploma Komunikasi Gunaan dari Universiti Multimedia (MMU) Cyberjaya, mengakui tidak mampu membeli komputer riba susulan hidupnya serba kekurangan selain tidak mahu menyusahkan ibunya, Zaizura Mah Husin, 50, yang menghidap penyakit buah pinggang.

Dia yang juga anak sulung daripada empat beradik mengakui ada masanya perlu menebalkan muka meminjam komputer kawan atau menghabiskan masa di kafe siber bagi menyiapkan tugasan atau menjalani ujian penting.

"Saya bersyukur dengan keputusan purata nilai gred (PNG) 3.6 diperoleh pada semester pertama dan berazam untuk terus meningkatkan kecemerlangan ini untuk semester seterusnya walaupun sedar banyak halangan perlu ditempuhi kerana kekangan wang.

"Selain itu, saya memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk menjaga adik selepas bapa meninggal dunia Mei tahun lalu, manakala ibu pula terpaksa tinggal bersama nenek yang terlantar sakit di Kemaman, Terengganu.

Mohd Zuraidi (kiri) menerima sumbangan komputer riba daripada Raja Shamri di rumahnya di Kampung Changgal. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Mohd Zuraidi (kiri) menerima sumbangan komputer riba daripada Raja Shamri di rumahnya di Kampung Changgal. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

"Walaupun agak letih saya cuba sedaya upaya menjaga makan minum adik berusia 13 hingga 20 tahun, disamping mencuri masa untuk belajar selain berusaha mencari kerja sampingan kerana menyedari wang simpanan semakin sedikit," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Changgal, di sini, semalam.

Nasib anak muda itu mendapat perhatian Pengasas Yayasan Raja Shamri (YRS), Raja Shamri Raja Husain, yang mengunjunginya dan menyerahkan sumbangan komputer riba serta bantuan kewangan selain memberikan kata-kata semangat buat Mohd Zuraidi.

Pihak YRS turut berjanji untuk membantu memudahkan urusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selain memastikan anak muda berkenaan dapat menghabiskan pengajiannya dengan sempurna.

Mohd Zuraidi memaklumkan, dia sebelum ini adalah penuntut bidang pengurusan maklumat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah, namun tidak dapat meneruskan pengajian kerana menjaga bapa yang jatuh sakit selain masalah kewangan.

"Selepas hampir setahun berhenti belajar dan melakukan pelbagai pekerjaan, semangat untuk kembali belajar timbul menyebabkan saya nekad menyambung pengajian di MMU.

"Saya membuat keputusan ini untuk mendapatkan ilmu dan kelulusan agar memperoleh pekerjaan supaya dapat mengubah nasib diri dan keluarga.

"Tambahan pula, hanya saya yang menjadi harapan keluarga memandangkan dua adik saya terpaksa berhenti sekolah kerana masalah pembelajaran selain tidak berkemampuan," katanya yang sebelum ini mendapat keputusan 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mohd Zuraidi tidak dapat menahan sebak tanda gembira dan bersyukur sebaik menerima sumbangan komputer riba daripada YRS serta berjanji akan belajar bersungguh-sungguh demi mencapai kejayaan pada masa depan.

Menurutnya, dia memilih untuk belajar dari rumah agar dapat melakukan kerja sambilan memandangkan belum melangsaikan yuran semester dua berjumlah lebih RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 3:35 PM