Syaherah Mustafa


Tanah Merah: "Saya selalu bertanya jika dia mahu minum atau makan, namun dia menggeleng kepala tanda masih boleh meneruskan puasa walaupun hanya terbaring kaku akibat serangan angin ahmar sejak dua tahun lalu," luah Mohamad Fitri Abd Razak.

Mohamad Fitri, 21, adalah adik tiri kepada Julizahisham Mohamad, 36, yang cekal meneruskan puasa seperti orang lain walaupun diuji dengan seluruh badan 'mengeras' dan tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan tanpa bantuan ahli keluarga.

Mohamad Fitri berkata, pada Ramadan tahun lalu, abangya hanya meninggalkan puasa selama tiga hari kerana badanya menjadi sangat lemah, manakala selebihnya dia menjalankan ibadah puasa seperti biasa.

"Setiap pagi pada waktu sahur, saya mengambil tugas menyuapnya makan dan minum selain menyiapkan air untuk dia berwuduk serta solat dalam keadaan berbaring.

"Ada masanya, tugas ini dilakukan ibu, Kamariah Samsudin, 51 atau ayah, Abd Razak Hasan, 58.

"Saya kagum dengan semangat abang untuk berpuasa walaupun dirinya diuji dengan kesakitan, secara tidak langsung memberi pengajaran buat kami sekeluarga untuk terus kuat mengharungi kehidupan walaupun diuji dengan kesusahan hidup.

"Sejak abang sakit, saya yang banyak menggalas tanggunjawab menjaganya apabila ibu dan ayah terpaksa keluar bekerja, tambahan pula hanya saya yang mampu mengangkat dia ke tandas yang berada di luar rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menerima lawatan wakil Yayasan Raja Shamri (YRS) di Kampung Bukit Kechik, di sini, baru-baru ini.

MOHAMAD Fitri sentiasa disamping abang tirinya, Julizahisham Mohamad, 36, yang lumpuh ketika ditemui di rumahny di Kampung Kampung Bukit Kechik, di sini, baru-baru ini. FOTO Syaherah Mustafa
MOHAMAD Fitri sentiasa disamping abang tirinya, Julizahisham Mohamad, 36, yang lumpuh ketika ditemui di rumahny di Kampung Kampung Bukit Kechik, di sini, baru-baru ini. FOTO Syaherah Mustafa

Sementara itu, wakil YRS, Tuan Zaimah Raja Omar, turut menyampaikan sumbangan katil, kewangan serta pek makanan buat keluarga terbabit yang kini dijadikan sebagai keluarga asnaf di bawah kelolaan YSR.

Mohamad Fitri yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik (termasuk dua adik beradik tiri) berkata, dia hanya bekerja pada sebelah pagi pada 6 sehingga 10 pagi dengan mengambil upah menghantar sayur-sayuran ke Pasar Tasek Raja, Pasir Mas dengan upah RM25 sehari.

"Selesai sahaja bekerja, saya pulang ke rumah menjaga abang kerana ibu dan ayah sudah bersedia untuk bekerja. Abang tidak boleh dibiarkan sendirian dan perlu dibantu setiap masa.

"Tidak pernah sesekali terdetik rasa penat atau malas untuk berbakti kepada abang kerana pada waktu sihatnya, dia yang selalu hulurkan wang saku dan menghantar saya pergi dan balik ke sekolah. Dia abang yang sangat baik.

"Sebenarnya, saya ada beberapa kali berfikir untuk cuba mencari pekerjaan, namun tanggungjawab saya pada abang lebih penting kerana ibu dan ayah tidak larat untuk menguruskan dia sendirian," katanya yang sentiasa berdoa semoga abang tirinya diberi peluang untuk kembali sihat seperti biasa.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan untuk keluarga terbabit boleh disalurkan ke akaun Agro Bank milik Julizahisham Mohamad (2006671000357868).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 2:07 PM