Syaherah Mustafa

Pasir Mas: "Saya jaga abang dengan penuh ikhlas, mungkin cara ini menjadi asbab saya peroleh keputusan cemerlang (Dekan) untuk setiap semester," kata Muhammad Hakimi Abdullah, 19.

Dia yang juga pelajar semester tiga, Diploma Kejuruteraan Awam di Politeknik Kota Bharu, mengakui terpaksa berkorban dengan belajar secara dalam talian sambil menjaga abangnya, Muhammad Khairul Anuar Abdullah, 21, yang juga orang kurang upaya (OKU) sejak lahir.

Muhammad Hakimi yang sentiasa murah dengan senyuman bertanggungjawab membantu bapa, Abdullah Zakaria, 61, dan Nur Hela Che Daud, 55, untuk mengangkat abangnya setiap kali mandi atau membuang air besar atau kecil.

"Alhamdulillah, walaupun tidak dapat memberi sepenuh perhatian sewaktu belajar, saya masih mendapat keputusan cemerlang. Malah, saya sentiasa berfikiran positif selain tidak menganggap menguruskan abang adalah satu bebanan.

"Selain itu, ibu biasanya memahami tanggungjawab saya sebagai pelajar, jadi ibu banyak berkorban masa selain tidak turun ke ladang getah untuk menoreh jika tahu saya ada kelas atau ujian penting bagi menjaga abang yang perlu dikawal setiap masa.

"Memandangkan ibu bapa sudah berumur, saya tidak membenarkan mereka mengangkat abang sebaliknya saya lakukan sendiri walaupun ada masanya mengalami sakit belakang dan lenguh badan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Pelanduk, di sini, semalam.

Muhammad Hakimi sekeluarga turut dikunjungi wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar, yang menyampaikan sumbangan kewangan buat keluarga berkenaan.

Pihak YRS juga dalam perancangan mencari dana untuk membina tandas di dalam rumah memandangkan kediaman milik keluarga Muhammad Hakimi tidak sempurna dan berada di bahagian luar sekali gus menyukarkan mereka menguruskan Muhammad Khairul Anuar.

MUHAMMAD Hakimi membantu bapanya, Abdullah Zakari untuk memandikan abangnya, Muhammad Khairul Anuar yang juga orang kurang upaya (OKU) sejak lahir. FOTO Syaherah Mustafa
MUHAMMAD Hakimi membantu bapanya, Abdullah Zakari untuk memandikan abangnya, Muhammad Khairul Anuar yang juga orang kurang upaya (OKU) sejak lahir. FOTO Syaherah Mustafa

Dia yang juga anak ketujuh daripada lapan adik beradik mengakui, kehidupan mereka sekeluarga juga tidak semewah orang lain hanya 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' susulan ibu bapanya yang hanya mengambil upah menoreh getah.

"Adik beradik saya yang lain juga sudah berumah tangga dan membantu sekadar yang mampu kerana mereka juga ada kehidupan sendiri. Justeru saya berazam untuk terus mengekalkan kecemerlangan sekali gus menjadi insan berjaya yang dapat membantu keluarga.

"Saya tidak malu untuk mengaku mempunyai abang OKU, kerana dia adalah 'ahli syurga' buat kami sekeluarga. Tidak sesekali saya menganggap dia beban, sebaliknya sebagai 'gedung pahala' di atas dunia ini jika menjaganya dengan baik.

"Selepas ini, mungkin saya perlu kembali ke kolej untuk meneruskan pengajian jadi memang terdetik rasa risau memikirkan ibu dan bapa terpaksa menjaga abang sendiri," katanya.

Menurutnya, dia mempunyai seorang lagi adik perempuan, Nur Balqis Abdullah, 15, yang diharap dapat membantu kedua-dua orang tuanya jika dia pergi belajar..

Tambah Muhammad Hakimi, abang istimewanya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan, yang mana digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan keperluan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 11:47 AM