Pengasas Vegetory Celleste Kok memeriksa helaian dedaun salad di Vegetory, Jalan Suria Puchong baru-baru ini. FOTO BERNAMA
Pengasas Vegetory Celleste Kok memeriksa helaian dedaun salad di Vegetory, Jalan Suria Puchong baru-baru ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Revolusi teknologi pertanian membolehkan sayur-sayuran kini ditanam tanpa tanah dalam persekitaran yang terkawal di dalam bangunan, sekali gus menjamin kualiti dan keselamatan makanan.

Vegetory, sebuah syarikat teknologi pertanian tempatan, memperluas konsep itu dengan mewujudkan 'stesen tanaman' di dalam pasar raya di mana pelanggan memetik sendiri sayur-sayuran yang mereka mahukan.

Hasil kerjasama dengan Bangsar Shopping Centre (BSC) Fine Foods di sini sejak 2020, Vegetory menawarkan pelbagai sayur-sayuran jenis salad yang ditanam dan membesar 'di depan mata' pelanggan.

Vegetory yang diasaskan oleh pasangan suami isteri Roy Liew dan Celleste Kok pada 2017, membangunkan sistem Plant Factory Indoor Farming (PFIF) atau kilang tanaman di dalam bangunan, teknologi yang dibawa masuk dari Taiwan.

Bercakap kepada Bernama di sini baru-baru ini Liew berkata, matlamat mereka ialah mewujudkan pertanian lestari menggunakan teknologi terkini yang turut menawarkan hasil tanaman yang selamat dan berkualiti tinggi.

"Kami menawarkan pertanian mesra alam agar pengguna dapat menikmati makanan tanpa rasa bimbang tentang kualitinya, selain merasai 'kesegaran sayur-sayuran yang baru dipetik' dari kebun," katanya.

Melangkah ke dalam 'stesen tanaman' Vegetory di BSC Fine Foods yang berkeluasan 200 kaki persegi itu bagaikan mengembara ke alam lain. Pandangan pasti terarah kepada deretan dulang yang dipenuhi pelbagai jenis salad, baik yang baru ditanam mahupun yang sudah matang dan sedia dipetik, menghijau di bawah LED.

"Ada lima jenis salad yang ditanam, iaitu mizuna, romaine, crisphead dan read oak, selain dua jenis kale - hijau dan merah - serta rocket," jelas Kok sambil memeriksa helaian dedaun salad berkenaan.

Beliau berkata, pelanggan boleh memilih sama ada memetik sendiri salad yang diinginkan atau membeli yang sudah siap dibungkus.

"Semua hasil dipetik serta dibungkus secara harian dan boleh dimakan terus kerana ditanam secara hidroponik selain tidak melibatkan penggunaan sebarang racun makhluk perosak," katanya menambah sayur-sayuran tersebut mampu bertahan selama seminggu.

Menurutnya, strategi Vegetory itu turut menjimatkan kos kerana tiada penglibatan 'orang tengah' dengan setiap pek salad dijual terus kepada pelanggan pada harga antara RM7.20 dan RM9.90.

Sementara itu, Liew berkata, kaedah yang digunakan oleh Vegetory membolehkan mereka mengawal pelbagai faktor yang memberi kesan secara langsung terhadap pertumbuhan, rasa dan kadar nutrisi setiap sayur yang ditanam.

"Sebab itulah sayur-sayuran yang dikeluarkan oleh kami lebih sedap dan bernutrisi tinggi. Malah, sayur juga kekal segar ketika sampai di tangan pelanggan," katanya.

Menurutnya, rasa salad yang lebih sedap itu antara faktor beliau dan isteri membangunkan sistem PFIF di negara ini.

"Ketika lawatan kerja ke Taiwan, kami singgah di satu restoran yang bercantum dengan kilang tanaman. Mereka benarkan kami melawat kilang tanaman itu selain memberikan kami semangkuk besar sayur-sayuran yang baru dipetik.

"Kami sebenarnya tidak begitu gemar makan sayur, namun apabila kami makan salad yang diberikan kami terus terpikat dengan rasanya, sedar-sedar mangkuk salad kami telah kosong," cerita Liew.

Kok pula berkata, mereka kemudian dimaklumkan restoran itu dioperasikan oleh sebuah syarikat pertanian dan dari situ sejarah Vegetory bermula.

"Apabila kami beritahu mereka tentang hasrat kami untuk meneroka bisnes itu, mereka bersedia memberikan khidmat nasihat dan sokongan," kata Kok, menambah beliau dan suami kemudian memulakan usaha tersebut di sebuah rumah kedai di Puchong pada penghujung 2016.

"Kami berdua langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang pertanian. Saya bekerja sebagai jurujual kejuruteraan sementara isteri lulusan sains komputer," celah Liew.

Mengakui bukan mudah untuk sampai di tahap sekarang, lelaki itu berkata, mereka belajar daripada kesilapan dalam melaksanakan penyelidikan dan pembangunan.

Enggan mendedahkan jumlah pelaburan, Liew berkata sepanjang 2017, mereka langsung tidak menjana sebarang pendapatan kerana sayur-sayuran yang dikeluarkan diberi secara percuma kepada cef dan restoran di sekitar Lembah Klang bagi mendapatkan maklum balas mereka.

"Banyak yang kami pelajari daripada cef-cef ini kerana mereka benar-benar memahami cita rasa dan kehendak pelanggan. Kami ambil maklum balas itu dan tambah baik teknologi di kilang tanaman kami di Puchong," kata Liew.

Sementara itu, Liew berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan mereka kini dalam proses untuk bekerjasama dengan sebuah lagi pasar raya.

"Kerjasama dengan BSC ini adalah yang pertama dan kini kami di peringkat akhir perundingan untuk mewujudkan konsep serupa dengan sebuah lagi pasar raya," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 7:15 AM