Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tidak terbabit dalam kelulusan tayangan filem kontroversi Battle At Lake Changjin di Malaysia yang didakwa mempromosi fahaman komunisme dan memutarbelit sejarah.

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, kelulusan penayangan filem adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Penapisan Filem (LPF), Kementerian Dalam Negeri.

"Finas mengeluarkan lesen pemameran kepada pawagam yang biasanya akan mendapatkan kelulusan LPF terlebih dulu untuk tayangan sesebuah filem.

"Sekiranya tiada kelulusan LPF, pengedar dan pemamer filem boleh diambil tindakan undang-undang. Finas memandang serius sekiranya benar filem berkenaan berunsur komunisme kerana kerajaan berusaha gigih menerapkan nilai-nilai murni keluarga Malaysia termasuk melalui usaha Finas menghasilkan filem-filem patriotik kenegaraan," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, segelintir warganet mempertikaikan kewajaran penayangan filem dari China itu dan menggesa kerajaan menyiasat perkara terbabit.

Mereka juga mahu Finas menyekat kemasukan filem itu ke negara ini.

Isu ini menjadi perbualan hangat selepas tular beberapa rangkaian pawagam utama menayangkan 'teaser' dan poster filem itu di laman sosial.

Golden Screen Cinemas (GSC) menyiarkan poster filem itu dua minggu lalu tanpa memaklumkan tarikh tayangannya, dengan berkata, Battle At Lake Changjin akan datang ke GSC tidak lama lagi!"

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi pihak GSC bagi mendapatkan reaksi mereka tidak berjaya apabila tiada sebarang respon daripada mereka.

Filem berdurasi tiga jam itu mengisahkan pertempuran antara tentera China dan Amerika Syarikat sewaktu Perang Korea pada 1950.

Filem dengan kutipan tertinggi tahun ini terbitan Bona Film Group dan August First Film Studio, milik tentera China ditayangkan sempena ulang tahun ke-100 Parti Komunis China tahun ini.

Ia dibintangi Wu Jing dan Jackson Yee, mengisahkan mendiang pemimpin China, Mao Zedong menghantar tentera untuk berperang menentang pencerobohan Amerika Syarikat.

Sebahagian pengguna media sosial berpendapat filem itu hanya untuk tontonan rakyat China dan rakyat Malaysia tidak memerlukannya kerana ia memutarbelitkan sejarah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 5:35 PM