Ahmad Hasbi


Seremban: Seramai 152 pelajar asrama Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani di Sikamat, di sini, yang mengalami gejala keracunan makanan sejak semalam dilaporkan dalam keadaan stabil.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Md Fiah Md Jamin berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan sewajarnya dengan menutup dapur asrama sekolah itu atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Setakat ini, tiada laporan kes serius. Semua pelajar berada dalam keadaan stabil melalui pengawasan dilakukan pegawai Jabatan Pendidikan negeri sehingga tengah malam tadi (kelmarin).

"Buat sementara waktu, pihak sekolah menggunakan perkhidmatan penyedia makanan daripada luar untuk membekalkan makanan kepada pelajar," katanya tadi.

Terdahulu, beliau hadir pada program menyampaikan faedah kepada empat keluarga orang berinsurans yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Harian Metro semalam melaporkan, lebih 152 pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani, di sini, mengalami masalah cirit birit, muntah dan sakit kepala dipercayai akibat keracunan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Alam Sekitar, Kesihatan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan dilaporkan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD ) Seremban menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 6:30 PM
Md Fiah Jamin hadir pada program menyampaikan faedah kepada empat keluarga orang berinsurans yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), di sini, semalam. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Md Fiah Jamin hadir pada program menyampaikan faedah kepada empat keluarga orang berinsurans yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), di sini, semalam. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN