FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Lebih 152 pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani, di sini, mengalami masalah cirit birit, muntah dan sakit kepala dipercayai akibat keracunan makanan, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Alam Sekitar, Kesihatan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD ) Seremban menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan PKD Seremban mendapati 152 pelajar mengalami gejala keracunan makanan daripada 597 yang terdedah dengan kadar serangan 25.5 peratus.

"Antara gejala utama ialah sakit perut seramai 152 orang, 148 orang (loya), 134 (sakit kepala), 110 (muntah), 94 (cirit-birit) 32 (demam) dan 30 pelajar mengalami 'abdomen cramp'.

"Semua kes dirawat sebagai pesakit luar di beberapa pusat kesihatan termasuk Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban selain Klinik Kesihatan Daerah serta klinik swasta dan berada dalam keadaan stabil.

"Tindakan kawalan wabak diambil pada hari sama," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Repah berkata, pemeriksaan di premis dan aktiviti persampelan sudah dijalankan.

Menurutnya, sampel klinikal daripada kes, sampel makanan dan sampel persekitaran diambil dan dihantar ke makmal untuk dianalisis.

"Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar keracunan makanan ini.

"Tindakan penutupan tempat penyediaan makanan dibuat mengikut Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengelak berlakunya pertambahan kes baharu dari punca premis sama," katanya.

Veerapan berkata, pendidikan kesihatan diberikan kepada semua pelajar terbabit serta pengusaha dan semua pengendali makanan di dapur asrama sekolah.

Beliau berkata, ketika ini semua pelajar berada di asrama masing-masing dan tiada yang ditahan di wad manakala pemantauan dan kawalan di sekolah ditamatkan sebaik semua pelajar dilaporkan dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 5:29 PM