FOTO Aizat Sharif
FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Kangar: Lapan puluh dua pelajar dan tiga kakitangan Sekolah Maahad Tahfiz al Quran Al Imam An Nabawi (MATIN) Abi, Kangar keracunan makanan.

Mereka dikatakan mengalami simptom itu selepas menghadiri kenduri tahlil di sekolah berkenaan.

Pelajar terbabit hanya mula menunjukkan simptom sakit perut, muntah dan pening, petang semalam.

Majlis kenduri berkenaan di sekolah itu diadakan pada kira-kira 10 malam, Khamis lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zaini Hussin dalam satu kenyataan media, berkata pelajar membabitkan 14 lelaki dan dua perempuan dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dan keadaan mereka adalah stabil.

"Selebihnya, adalah membabitkan 38 pelajar iaitu 26 lelaki dan 12 perempuan dirawat sebagai pesakit luar di HTF.

"Selain itu, 31 pelajar lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar di sekolah mereka," katanya kepada pemberita.

Katanya, Jabatan Kesihatan kini sudah mengambil contoh makanan yang disyaki menyebabkan keracunan itu seperti nasi tomato, ayam masak merah, acar dan dalca.

Siasatan lanjut terhadap kes berkenaan masih dijalankan bagi menganalisa penyebab keracunan itu.

Tinjauan Harian Metro mendapati semua pelajar yang terbabit sudah dibenarkan pulang ke asrama masing-masing.

Kakitangan Sekolah MATIN enggan dikenali, berkata keseluruhan 160 pelajar menghadiri majlis berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, tidak sampai 100 pelajar yang menjamah makanan yang disediakan.

"Makanan itu disedekahkan oleh pihak luar dan bukannya disediakan oleh pihak kantin kami.

“Ada antara pelajar yang sakit menjamah makanan itu sebelum majlis tahlil bermula tetapi ada juga yang makan selepas itu.

“Kita mendapati mereka yang menikmati hidangan itu selepas majlis tahlil adalah yang paling ramai sakit perut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 3:30 PM