ANTARA operasi SAR membabitkan pelajar warga asing yang terkandas ketika mendaki di Gunung Irau.
ANTARA operasi SAR membabitkan pelajar warga asing yang terkandas ketika mendaki di Gunung Irau.
Muhammad Apendy Issahak


Cameron Highlands: Pasukan Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands mengambil inisiatif sendiri dalam menambah baik proses menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi pendaki Gunung Irau, di sini, yang menghadapi masalah kecemasan seperti terkandas, mengalami kecederaan ketika mendaki selain tersesat dengan memasang papan tanda khas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Muhammad Haziq Hazmi berkata, terdapat empat gunung yang menjadi tumpuan pendaki di kawasan peranginan tanah tinggi berkenaan iaitu Gunung Irau, Gunung Brinchang, Gunung Jasar dan Gunung Berembun yang setiap satunya mempunyai cabaran dan kesukaran tersendiri.

Menurutnya, daripada empat puncak tumpuan pendaki itu, Gunung Irau setinggi 2,110 meter paling ramai dikunjungi, sekali gus merekodkan kes terbanyak operasi SAR susulan pendaki menghadapi masalah kecemasan.

“Dalam setiap SAR, maklumat awal yang tepat mengenai mangsa sangat diperlukan bagi membolehkan bantuan tiba dengan cepat terutama operasi membabitkan pendakian.

“Lebih memudahkan apabila semua kawasan tumpuan pendaki di tanah tinggi di sini mempunyai liputan rangkaian telefon yang membolehkan mangsa menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

“Bagaimanapun, kami sering tidak dapat maklumat tepat mengenai mangsa susulan menjadi pihak kedua atau ketiga menerima maklumat apabila panggilan kecemasan dibuat menerusi talian 999,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Muhammad Haziq berkata, tindakan mangsa menghubungi talian kecemasan itu adalah tepat namun pihaknya sering menghadapi masalah tidak mengetahui keadaan sebenar mangsa dan jenis kecemasan dihadapi untuk mengenal pasti peralatan menyelamat yang perlu dibawa berikutan maklumat diperoleh bukan daripada mangsa tetapi daripada pusat kawalan.

“Bagi mengatasi masalah berkenaan, kami mengambil inisiatif membuat papan tanda khas yang tercatat nombor telefon Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Higlands, e-mel serta latitud dan longtitud di 13 lokasi yang sering berisiko mengalami kes kecemasan di Gunung Irau.

“Ini bagi membolehkan mangsa menghubungi pihak kami terus dan menyalurkan maklumat yang tepat dalam memudahkan operasi SAR dijalankan pihak bomba terutama membabitkan maklumat mengenai keadaan sebenar mangsa, lokasi dan kecemasan yang dialami,” katanya.

Menurutnya, semua papan tanda khas itu dipasang pada September lalu dan ia ternyata berkesan termasuk dalam operasi menyelamat tiga pelajar warga asing Kolej Universiti Antarabangsa Nilai yang terkandas di Gunung Irau akibat keletihan susulan kehabisan bekalan makanan serta minuman pada 30 September lalu.

“Pendekatan ini akan kami pasang di tiga gunung lain di sini pada tahun depan dan ia adalah demi keselamatan nyawa pendaki sekiranya berlaku sebarang kecemasan,” katanya yang memaklumkan idea pihaknya itu turut diguna pakai Persatuan Mendaki Gunung Pahang untuk dipraktikkan di Gunung Tapis, Sungai Lembing, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 10:14 AM