CALON yang akan bertanding (dari kiri) calon PBS, Datuk Linda Tsen Thau Lin serta   Chia Siew Yung (Bebas), Vivian Wong Shir Yee (DAP), Sulaian Abdul Samat (Bebas) dan Hamza A. Abdullah @ Hamzah (Bebas) pada penamaan calon di SMJK Tiong Hua. FOTO Bernama
CALON yang akan bertanding (dari kiri) calon PBS, Datuk Linda Tsen Thau Lin serta Chia Siew Yung (Bebas), Vivian Wong Shir Yee (DAP), Sulaian Abdul Samat (Bebas) dan Hamza A. Abdullah @ Hamzah (Bebas) pada penamaan calon di SMJK Tiong Hua. FOTO Bernama
BERNAMA

WAKTU mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, diawalkan pada 7.30 pagi hingga 5 petang, 11 Mei depan.

Timbalan Pengarah SPR, Dr Azmi Sharom berkata, perubahan itu mengambil kira dan menyesuaikan waktu untuk berbuka puasa bagi petugas, ejen calon dan pemerhati melancarkan proses pengiraan undi.

“Pengumuman keputusan PRK dijangka diumumkan sebelum 10 malam,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon di pusat penamaan calon Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua, Sandakan, hari ini.

Azmi berkata, tempoh berkempen secara rasmi juga sehingga 11.59 malam, 10 Mei depan.

Beliau berkata, 17 saluran baharu ditambah di pusat mengundi yang mempunyai ramai pengundi, menjadikan kesemuanya 92 saluran.

“Bagi pengundi yang berumur 60 tahun ke atas akan diwujudkan dua saluran. Manakala pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) di saluran satu,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi berkata, bagi tujuan memantau aktiviti berkempen sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR telah menubuhkan empat Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) selaras dengan Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Katanya SPR telah menyediakan Surat Aku Janji ditandatangani oleh calon yang mengandungi 10 Janji mematuhi segala peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan mana-mana undang-undang serta peraturan yang berkaitan sepanjang tempoh 14 hari berkempen bermula selepas pengisytiharan nama calon-calon pada hari ini sehingga 11.59 malam pada 10 Mei.

Beliau berkata, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga membuka bilik gerakannya di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan, Tingkat 7 Bangunan Persekutuan Sandakan dan akan beroperasi selama 24 jam.

Pegawai-pegawai SPRM juga akan membuat pemantauan di lapangan, katanya.

Azmi berkata, bagi PRK ini, SPR telah melantik 57 pemerhati pilihan raya daripada 10 organisasi membabitkan agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta dua individu yang berkelayakan untuk memantau penjalanan proses pilihan raya ini.

Beliau mengingatkan setiap ceramah perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PDRM berkuasa untuk mengambil tindakan bagi aktiviti ceramah yang dijalankan tanpa permit.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Sandakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 1:14 PM