Junita Mat Rasid

Johor Bahru: Sebanyak 1,021 pusat mengundi dan 4,638 saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian dengan seramai 49,290 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikan proses pengundian.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata seramai 2,539,606 pengundi bakal mengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-15 esok dan pihaknya berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.

Katanya, SPR juga menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan bagi proses pengundian bagi memastikannya lengkap serta dalam keadaan baik sebelum diagihkan kepada Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi.

"Pengundi dinasihatkan keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

"Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 8 pagi hingga 6 petang atau waktu yang diwartakan. Namun, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ikmalrudin turut mengingatkan semua majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi esok, sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 25(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau turut mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada malam ini iaitu sehingga jam 11.59 minit malam dan selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi.

SEBAHAGIAN petugas SPR bagi DUN Larkin membuat pemeriksaan terakhir. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SEBAHAGIAN petugas SPR bagi DUN Larkin membuat pemeriksaan terakhir. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain," katanya.

Ikmalrudin berkata, SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding dilarang membuka, membina atau menyelenggara barung semasa hari mengundi dan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan itu akan diambil tindakan undang-undang.

Katanya, pengundi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 termasuk diwajibkan memakai pelitup muka, pensanitasi tangan, merekodkan kehadiran dan mengamalkan penjarakan fizikal.

Beliau berkata, pengundi yang bergejala akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau pegawai kesihatan.

Selain itu katanya, pengundi berstatus individu yang disyaki (PUI) dan individu dalam pemantauan (PUS) yang ingin mengundi perlu memohon kebenaran dari Pegawai Kesihatan Daerah (PKD), Pejabat Kesihatan Daerah yang mengawasi Arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian berkenaan, untuk keluar sementara ke pusat mengundi.

Tambahnya, kebenaran itu adalah tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan oleh Pegawai Kesihatan Daerah terbabit dan pengundi perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 1:03 PM