Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Sebanyak 217 pusat mengundi membabitkan 1,109 saluran akan dibuka untuk pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 12,290 petugas akan bertugas bagi melancarkan proses pengundian yang bermula 8 pagi sehingga 5.30 petang.

"Seramai 476,037 pengundi bakal mengundi pada PRN Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka ke-15 esok dan SPR berharap pengundi dapat menjalankan tanggungjawab dengan keluar mengundi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengundi yang hadir ke pusat mengundi diwajibkan memakai pelitup muka, melalui proses saringan suhu badan, menggunakan sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.

"Sanitasi tangan akan dibekalkan di semua pusat mengundi dengan pengundi perlu melalui di empat stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk mengundi, pintu masuk saluran, dalam saluran sebelum keluar dari pusat mengundi.

"Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan garis panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi," katanya.

Katanya, pengundi bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.

"Pengundi terbabit akan diuruskan pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.

"Individu di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PUS) dan individu yang bergejala yang sedang dalam rawatan (PUI) yang ingin mengundi perlu memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah untuk keluar sementara ke pusat mengundi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, petugas SPR juga sudah menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi untuk kegunaan bagi proses pengundian esok.

GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama

"Semakan ini untuk memastikan semua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian pada hari esok lengkap dan berkeadaan baik.

"Peralatan diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi," katanya.

Beliau turut menasihatkan pengundi keluar mengikut masa keluar mengundi digalakkan serta mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi.

"Mana-mana majikan yang tidak membenarkan suatu tempoh kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 2:09 PM