TUMPAT 05 SEPTEMBER 2017. ( KBM551W ) Mangsa seorang usawahan kosmetik Dnars, Faziani Rohban Ahmad, 38, tawarkan RM5,000 kepada pemberi maklumat kejadian kecurian motorsikal milik anak dan adiknya di sebuah taman perumahan di Pasir Pekan. NSTP/ZAMAN HURI ISA

Siti Rohana Idris

PENGASAS produk kecantikan Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad dianggap majikan contoh kerana mengutamakan kebajikan pekerja dengan membuat caruman secara teratur tanpa pengecualian.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Nora Yaacob berkata, melalui Rohban Trade Sdn Bhd, syarikat itu amat patuh kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969.

Katanya, arwah juga mencarum di bawah Akta 4 AKSP 1969 yang mana akta itu melindungi pekerja dan majikan yang mengalami kemalangan, kematian, keilatan dan Pencen Penakat.

“Mereka membayar caruman kepada pihak kami dengan begitu baik dan teratur bahkan arwah Faziani selaku pemilik syarikat juga turut membuat caruman PERKESO tanpa pengecualian.

“Keprihatinan arwah dalam membuat caruman kepada semua pekerjanya dan mencarum untuk dirinya sendiri adalah sesuatu yang terpuji, malah patut dijadikan contoh oleh majikan lain serta diangkat sebagai ikon dalam kalangan majikan PERKESO Kelantan.

“PERKESO mendapati arwah Faziani sememangnya pencarum setia dan semakan caruman mendapati ia memenuhi kelayakan untuk tuntutan Pencen Penakat,” katanya ketika ditemui di kediaman arwah Faziani, 40, di Kampung Paloh, di Tumpat, hari ini.

PENGARAH PERKESO Negeri Kelantan, Nora Yaacob (dua kiri) menyampaikan sumbangan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 kepada Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42 (dua kanan) suami pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, 39 yang maut dalam kemalangan di Pattani, Thailand disaksikan oleh Ketua Cawangan Faedah PERKESO,  Aimi Salwani Mohd Yahya (tengah) di rumah mangsa di Kampung Paloh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Nora berkata, hari ini pihaknya menyampaikan tuntutan suami arwah, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42 yang akan menerima secara bulanan sebanyak RM2,212 seumur hidup.

“Untuk syer pencen bahagian anak arwah pula akan diterima sehingga mereka berusia 21 tahun manakala bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 sudah dikreditkan ke dalam akaun suami arwah,” katanya.

Sementara itu Ahmad Shah Rizal berkata, arwah isterinya memang seorang majikan yang sangat mementingkan kebajikan dan menitikberatkan keselamatan pekerja.

“Caruman untuk pekerja sentiasa dibuat secara berterusan tanpa pengecualian kerana mengambil kira kebajikan mereka sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak PERKESO atas penyerahan tuntutan Pencen Penakat ini dan menganggap arwah sebagai ikon majikan PERKESO malah gelaran itu memang layak untuknya,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Faziani Rohban Ahmad maut manakala suaminya cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Pattani, Thailand pada 18 Mei lalu.

Faziani maut di lokasi kejadian akibat parah dan tersepit di bahagian penumpang hadapan, manakala suaminya, Ahmad Shah cedera.

Kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dinaiki mangsa dengan lori.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 2:03 PM