MASJID Amal Malaysia di Chad. FOTO ihsan Yayasan Amal Malaysia
MASJID Amal Malaysia di Chad. FOTO ihsan Yayasan Amal Malaysia
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Yayasan Amal Malaysia membina masjid di Chad hasil sumbangan wakaf umat Islam dari Malaysia, Brunei dan Singapura.

Pembinaan masjid itu dirasmikan kelmarin dan terletak di perkampungan Hidjelidje kira-kira 40 kilometer dari Ndjamena.

Presiden Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail berkata, pembinaan masjid itu menelan belanja RM400,000.

"Masjid itu dinamakan Masjid Amal Malaysia dan siap dibina dalam masa empat bulan dengan keluasan 20 meter persegi yang boleh menampung sehingga 500 jemaah dalam satu masa.

"Keunikan masjid ini ia dibina mempunyai persamaan reka bentuk masjid di Malaysia yang berbumbung tinggi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pembinaan masjid ini turut merangkumi pembinaan tempat wudhu dan telaga tiub berkuasa solar serta kemudahan tandas yang lebih sempurna terutama untuk kegunaan 120 pelajar tahfiz di situ.

Katanya, beliau berterima kasih atas sambutan yang baik penduduk di sekitar Hidjelidje sempena perasmian kelmarin dan juga kepada semua penderma terlibat.

"Terima kasih kepada seluruh penyumbang dan pewakaf sehingga projek jariah terbesar ini dapat dijayakan dengan sempurna dan memberi keselesaan kepada penduduk di qariah ini dan qariah berhampiran serta pelajar maahad tahfiz beribadat.

"Pembinaan masjid ini juga diharapkan dapat dijadikan pusat ilmu, pembangunan ekonomi, keluarga dan pendidikan," katanya.

Tambahnya, Yayasan Amal Malaysia merancang bakal membina Kompleks Pendidikan Islam yang merangkumi pembinaan masjid serta asrama pelajar.

Selain itu, sebuah lagi masjid sedang dibangunkan di perkampungan Dubban di Cameroon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 1:42 PM