AHMAD Zahid  hadir untuk perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias.
AHMAD Zahid hadir untuk perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Aswadi Alias.
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Seorang guru sekolah agama memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi amat tidak suka namanya disebut dan diuar-uarkan sebagai pemberi sumbangan.

Bekas Pengetua Sekolah Menengah Imitaz Ulul Albab, Melaka, Azharizan Yaacob, 47 berkata Ahmad Zahid pernah memberitahunya, prinsip timbalan perdana menteri itu ialah 'apabila tangan kanan memberi, biar tangan kiri tidak mengetahui'.

Azharizan yang membacakan pernyataan saksinya berkata, sepanjang mengenali Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau seorang yang suka menyumbang kepada jalan agama khususnya untuk tujuan (pembinaan) masjid, surau dan pendidikan.

"Sekiranya terdapat apa-apa permohonan kepada Ahmad Zahid berkaitan sumbangan amal jariah, beliau akan membantu dalam apa jua bentuk yang beliau mampu," katanya.

Sementara itu Azharizan berkata, pembinaan Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab di Melaka dibiayai sepenuhnya oleh Ahmad Zahid yang disiapkan pada tahun 2014 oleh syarikat Teknik Sempurna Sdn Bhd selepas mengambil alih daripada kontraktor asal.

"Kos operasi sekolah juga ditaja dan dibiayai sepenuhnya oleh Datuk Seri sendiriā€¦ sepanjang ia beroperasi dari 2012, Datuk Seri memperuntukkan hampir RM30 juta untuk membantu operasi sekolah tidak termasuk kos sumbangan untuk pembinaan sekolah.

"Hampir setiap bulan, Datuk Seri akan mengeluarkan cek daripada Yayasan Akalbudi kepada Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab dengan bayaran dalam lingkungan RM170,000 hingga RM200,000.

"Wang bulanan ini digunakan untuk membayar bil sekolah, gaji tenaga pengajar, makanan pelajar dan kos operasi lain. Oleh kerana ia sekolah swasta dan perlu ditanggung sendiri serta bergantung kepada yuranpelajar, sumbangan yang diberi sangat membantu dalam meneruskan operasi harian," katanya.

Saksi ke-12 pembelaan itu berkata, apabila sekolah siap dan mula beroperasi pada tahun 2012, beliau dipanggil Ahmad Zahid untuk menjadi salah seorang tenaga pengajar dan hampir empat bulan selepas itu, dilantik menjadi pengetua.

Azharizan yang kini pengetua Maahad Tahfiz Al Quran Hamidiyah di Bagan Datuk, berkata pada 20 Ogos 2020, pengurusan sekolah berkenaan diambil alih oleh kerajaan negeri Melaka kerana akaun Yayasan Akalbudi dibekukan yang berkaitan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid.

Katanya, berikutan itu sumbangan bantuan bulanan yang diberikan oleh Ahmad Zahid tidak dapat diteruskan menyebabkan sekolah kekurangan dana untuk meneruskan operasi.

Menjawab soalan peguam bela Aiman Abdul Rahman, ia menyebabkan ibu bapa dan jemaah pengelola sekolah yang dipengerusikan Ahmad Zahid sepakat menaikkan yuran pengajian bulanan kepada RM700 daripada RM500 yang dikenakan pada 2017.

"Oleh kerana akaun Yayasan Akalbudi dibekukan, kami hilang sumber kewangan bagi menanggung operasi dan terpaksa melakukan pelbagai cara termasuk menaikkan yuran tahunan, mengurangkan gaji guru dan menutup pendingin hawa yang digantikan dengan menggunakan kipas.

"Pelbagai cara saya lakukan untuk meneruskan operasi sekolah termasuk berhutang bagi menampung kos RM350,000 sebulan," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 6:08 PM