ANGGOTA APM memotong dan membersihkan pokok tumbang dan menghempap sebuah kenderaan pacuan empat roda di Batu 1, Jalan Besar Tampin- Seremban, di sini. FOTO IHSAN APM
ANGGOTA APM memotong dan membersihkan pokok tumbang dan menghempap sebuah kenderaan pacuan empat roda di Batu 1, Jalan Besar Tampin- Seremban, di sini. FOTO IHSAN APM
Ahmad Hasbi


Tampin: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya dihempap pokok dalam kejadian di Batu 1, Jalan Besar Tampin- Seremban, di sini, petang semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, pemandunya berusia 40-an itu sedang memandu di jalan berkenaan sebelum dihempap pokok dengan ukur lilit 150 milimeter yang tumbang akibat ribut.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tampin, Leftenan (PA) Muhammad Muthalib Satiman berkata, lelaki berkenaan yang memandu seorang diri bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

"Kami menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin jam 2.16 petang memaklumkan sebatang pokok tumbang dan menghempap kenderaan milik orang awam sebelum empat anggota bergegas ke lokasi berkenaan.

"Sebaik tiba kami mendapati sebatang pokok bersaiz tiang elektrik tumbang di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda. Bagaimanapun, pemandu seorang lelaki sudah keluar sendiri dan tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 40 minit untuk memotong pokok dan membersihkan jalan berkenaan.

"Ketika kejadian berlaku hujan lebat dan angin kencang. Kami percaya itu menjadi punca pokok tumbang.

"Daripada maklumat yang kami terima, pokok berkenaan tumbang ketika kenderaan dipandu itu sedang bergerak dan dia bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan, namun kenderaannya mengalami sedikit kerosakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 10:42 AM