KEADAAN pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta di Kilometer 3.6, Jalan Pantai, berhampiran sebuah hotel. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta di Kilometer 3.6, Jalan Pantai, berhampiran sebuah hotel. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Seorang Pegawai Farmasi Hospital Port Dickson berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya dihempap pokok tumbang berhampiran Hotel Corus Paradise di sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian berlaku jam 10.17 malam tadi di Kilometer 3.6, Jalan Pantai di sini.

"Mangsa seorang wanita berusia 30-an yang memandu kenderaan model Toyota Vios. Namun dia bernasib baik tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati wanita itu memandu dari Hospital Port Dickson selepas selesai bertugas. Setibanya di lokasi kejadian, sebatang pokok besar tumbang menghempap kenderaan mangsa," katanya.

Beliau berkata, hujan lebat dan angin kencang berlaku ketika kejadian.

"Saya berharap semua pengguna jalan raya berwaspada semasa memandu berikutan cuaca tidak menentu ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 4:02 PM