KENDERAAN dinaiki mangsa dihempap pokok di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kampung Sungai Ikan, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
KENDERAAN dinaiki mangsa dihempap pokok di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kampung Sungai Ikan, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Zaid Salim


“KETIKA itu angin kuat tapi masih belum hujan, sebelum saya ternampak sebatang pokok condong ke arah jalan dan tanpa disangka tiba-tiba tumbang.”

Begitu kata saksi Rosdalia Kahadin, 32, yang melihat pemandu pacuan empat roda Mitsubishi Pajero cuba mengelak ke kanan, namun gagal sebelum dihempap pokok itu.

Dalam kejadian jam 3.10 petang hari ini, mangsa Abdul Razak Mat Husin, 48, maut selepas kenderaan dipandunya ditimpa pokok di Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu, dekat Kampung Sungai Ikan, Kuala Terengganu.

Rosdalia berkata, ketika kejadian, dia bersama rakan dalam perjalanan ke Kota Bharu.

Katanya, ketika itu kereta dipandunya mengekori belakang pacuan empat roda terbabit dan kejadian berlaku ketika angin kencang.

“Saya bersyukur kenderaan saya mengalami sedikit kerosakan selepas terkena dahan pokok ketika mengelak ke kanan jalan dan tidak cedera,” katanya.

Ketika kejadian, mangsa yang juga pemilik bengkel kenderaan di Kampung Sungai Ikan dikatakan dalam perjalanan mengambil anaknya di sekolah tidak jauh dari tempat kejadian.

Setibanya di tempat kejadian, sebatang pokok besar di tepi jalan tumbang secara tiba-tiba dan menghempap kenderaan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abdul Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 8:48 PM