GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pengambilan dos penggalak mampu meningkatkan kembali kadar imuniti rendah selepas keberkesanan vaksin semakin menurun.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, dos penggalak diperlukan bagi menjadi benteng ketahanan imuniti badan daripada risiko jangkitan dan penularan Covid-19.

"Memang benar, (ketahanan imuniti) akan kurang berkesan dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas mengambil vaksin. Itu biasa mana-mana vaksin pun sama.

"Apabila ada kajian mengatakan contohnya keberkesanan Pfizer daripada 88 peratus akan menurun kepada 68 peratus dan Sinovac 76 peratus kepada 27 peratus maknanya daya ketahanan badan kita terhadap Covid-19 semakin rendah yang bukan saja menyebabkan jangkitan kepada diri sendiri, malah orang lain.

"Justeru, sangat penting perlunya diberikan dos penggalak selepas tiga hingga enam bulan disuntik vaksin supaya kadar keberkesanannya dapat ditingkatkan semula," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kajian 'The Real World Evaluation of Covid-19 Vaccination' (RECoVaM) yang menunjukkan pengurangan keberkesanan ketiga-tiga vaksin digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) selepas enam bulan individu lengkap dua dos suntikan.

Katanya, belum ada kajian berapa lama tempoh keberkesanan vaksin bertahan selepas mengambil dos penggalak, namun inisiatif itu sekurang-kurangnya dapat meningkatkan tahap imuniti badan sekali gus mengurangkan kadar jangkitan.

"Berdasarkan pengalaman beberapa negara seperti Israel yang memberikan dos penggalak kepada penerima vaksin Pfizer, memang terbukti kes pun semakin berkurangan.

"Jadi rakyat Malaysia juga perlu ambil dos penggalak ini kerana kita tidak boleh terlalu yakin dan bergantung dengan hanya mengambil dua dos lengkap vaksin saja," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan masyarakat supaya sentiasa patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi memerangi Covid-19.

"Dan sudah pasti pematuhan SOP itu sangat penting untuk mengurangkan risiko jangkitan dan penularan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 4:38 PM