TINJAUAN harga ayam yang didapati naik sekali lagi pada kadar RM0.40 sehingga RM1 sekilogram (kg). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
TINJAUAN harga ayam yang didapati naik sekali lagi pada kadar RM0.40 sehingga RM1 sekilogram (kg). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my


Seremban: Seremban: Harga ayam segar di negeri ini didapati naik pada kadar RM0.40 sehingga RM1 sekilogram (kg) sejak semalam dipercayai akibat kekurangan bekalan bahan mentah berkenaan.

Tinjauan di Pasar Besar Seremban di sini, hari ini mendapati segelintir peniaga menjual sehingga RM10.50 sekilogram berbanding sebelum ini pada harga RM9.50, namun ada peniaga yang kekal dengan harga lama.

Menurut peniaga, mereka kini susah untuk mendapatkan bekalan ayam menyebabkan segelintir peniaga menaikkan harga, namun punca sebenar bekalan bahan mentah terputus hanya diketahui di peringkat pembekal.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, pembeli perlu bijak untuk memilih gerai yang menjual ayam segar pada harga berpatutan.

"Ayam tidak termasuk dalam barangan yang dikawal harganya lebih-lebih jika di luar waktu Skim Harga Maksimum Musim Perayaan.

"Jadi ia bukan menjadi satu kesalahan, cuma peniaga perlu meletakkan tanda harga bagi mengelakkan pembeli keliru.

"Bagaimanapun, pihak kami boleh mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bertujuan mendapatkan maklumat harga jualan, kos dan peratus margin harga ayam untuk tempoh tertentu.

"Pembeli juga mempunyai pilihan untuk membeli ayam di premis atau gerai yang menawarkan harga mengikut kehendak mereka.

"Bagaimanapun, pasukan penguat kuasa akan turun membuat pemantauan ke pasar utama di negeri ini bagi memastikan peniaga meletakkan tanda harga dengan jelas supaya tidak mengelirukan pelanggan selain akan mengenal pasti punca kenaikan harga berkenaan," katanya

Menurutnya, berdasarkan pemantauan sehingga 31 Oktober lalu, harga ayam bersih standard di 17 pasar awam merekodkan harga jualan antara RM9.30 hingga RM9.50 sekilogram.

Harga ayam di negeri ini pernah direkodkan mencecah RM10.50 sekilogram pada September lalu ekoran peningkatan kos bagi dedak haiwan ternakan berkenaan di peringkat pengeluar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 3:37 PM