Zaid Salim


Kuala Terengganu: Kurang bekalan dikatakan punca harga daging dan ayam segar di negeri ini naik mendadak ketika Ramadan.

Tinjauan di beberapa pasar basah sekitar bandar ini mendapati daging segar dijual pada harga sekitar RM30 hingga RM32 sekilogram (kg) berbanding RM28 sekg sebelum ini.

Sementara ayam segar pula berharga RM9 sekilogram berbanding RM8.50 seminggu sebelum Ramadan.

Malah, ada peniaga mendakwa, harga ayam akan terus naik antara RM9.50 hingga RM10 sekilogram.

Peniaga ayam, Hafizi Mohamad, 25, pula mendakwa kenaikan harga ayam dikatakan berpunca daripada kurang bekalan.

"Tahun ini harga ayam agak pelik sedikit sebab baharu dua hari puasa harga ayam naik sehingga 50 sen setiap sekilogram sejak seminggu sebelum Ramadan.

PENIAGA ayam di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu. FOTO Zaid Salim
PENIAGA ayam di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu. FOTO Zaid Salim

"Saya dimaklumkan esok harga ayam akan naik antara RM9.50 hingga RM10 sekilogram dan dijangka terus meningkat sehingga Aidilfitri," katanya ketika ditemui di Pasar Chabang Tiga, di sini, hari ini.

Katanya, kenaikan harga ayam dan daging setiap kali menjelang Ramadan perkara biasa, kecuali tahun lalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, katanya, tahun ini kenaikan secara mendadak dan ia bukan berpunca daripada peniaga sebaliknya harga yang ditawarkan pemborong pada peringkat ladang.

Sementara, peniaga daging, Yusof Abdullah, 62, berkata kenaikan harga daging berlaku sejak sebulan lalu apabila peniaga terpaksa menjual antara RM30 hingga RM32 sekilogram kerana kekurangan bekalan.

"Bekalan daging kini kurang kerana kebanyakan penternak lebih gemar menjual lembu kepada pembeli negeri lain seperti Kuala Lumpur dan Johor Bharu berikutan harga yang ditawarkan tinggi berbanding pembeli tempatan.

"Kemungkinan kenaikan harga daging akan berlaku sepanjang Ramadan sehingga Aidilfitri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 4:24 PM