Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri menyasarkan kemasukan tiga juta pelancong ke Terengganu, tahun depan sekali gus merancakkan kembali sektor pelancongan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman bagaimanapun berkata, sasaran itu ditetapkan lebih rendah berbanding sebelum ini berikutan pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

"Selain itu, sasaran juga dibuat dengan mengambil kira pintu sempadan antarabangsa yang masih lagi belum dibuka dan kalau hendak letak sasaran tinggi, kita belum ada maklumat bila pelancong asing boleh masuk.

"Jadi saya jangkakan apabila pulau buka betul-betul, mungkin Februari ini (tahun depan), pelancong asing sudah masuk Malaysia dan boleh ke pulau kerana sebelum ini, 20 hingga 30 peratus pelancong di Terengganu terdiri daripada pelancong asing," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu 2021-2025 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) melancarkan buku Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Terengganu 2021- 2025 di Wisma Darul Iman hari ini. FOTO Ghazali Kori
DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) melancarkan buku Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Terengganu 2021- 2025 di Wisma Darul Iman hari ini. FOTO Ghazali Kori

Terdahulu, majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ketika ditanya mengenai penutupan pulau ketika musim tengkujuh, Ariffin berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada pemain industri yakni, pengusaha resort, hotel dan chalet untuk memutuskan sama ada mahu meneruskan operasi pada musim itu atau sebaliknya.

"Kita boleh arahkan kepada pihak polis untuk berbincang dengan MKN (Majlis Keselamatan Negeri Terengganu) untuk mengarahkan semua pulau ditutup tetapi oleh kerana pengusaha ini bukan (hanya) setahun mengusahakan, mereka sudah ada pengalaman berpuluh-puluh tahun jadi kita serah kepada kebijaksanaan mereka.

"Cuma yang menjadi perhatian kepada kerajaan adalah isu keselamatan dan kita minta pengusaha yang mahu meneruskan operasi perlu mengutamakan keselamatan pelancong seperti pemakaian jaket keselamatan dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 5:28 PM