Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Terengganu dijangka beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) September ini jika program vaksinasi berjalan lancar seperti dijadualkan.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tahap vaksinasi di Terengganu ketika ini sudah mencapai 35 peratus bagi penerima dos lengkap manakala 60 peratus bagi penerima satu dos.

Menurutnya, Terengganu memerlukan sekurang-kurangnya lima peratus kadar vaksinasi bagi mencapai tahap 40 peratus yang ditetapkan kerajaan untuk beralih ke Fasa Tiga PPN.

"Kita jangka dalam seminggu dua ini sekiranya dos vaksin yang sampai itu seperti dirancangkan, insya-Allah, kita mampu bergerak ke fasa berikutnya.

"Sebab kedudukan perkara lain berkait ICU (unit rawatan rapi) dan lain-lain itu saya rasa kita dalam keadaan terkawal.

"Kalau semua berjalan lancar, insya-Allah dan kita minta kerjasama rakyat supaya ikut prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin jaga diri dan keluarga.

"Ia (penting) supaya kita tidak membentuk kluster baharu (dan) dalam masyarakat kita supaya boleh keluar daripada fasa sekarang kepada fasa berikutnya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. FOTO GHAZALI KORI
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. FOTO GHAZALI KORI

Ketika ditanya sama ada Terengganu mampu mencapai 80 peratus vaksinasi bagi rakyat negeri itu lebih awal daripada sasaran, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya yakin sasaran 80 peratus imuniti berkelompok itu akan dicapai seperti yang dijadualkan Oktober depan.

"Isunya jumlah vaksin dan ada unjuran yang diberikan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) tentang vaksin ini. Saya rasa sekiranya tidak ada perubahan pada unjuran itu, insya-Allah kita boleh capai 80 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 2:34 PM