GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri memandang serius kejadian pencemaran diakibatkan pelepasan sisa kumbahan hingga menyebabkan pelancong di Pulau Perhentian keracunan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kejadian terbaru akhir bulan lalu itu sedang disiasat Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurutnya, bukan semua resort dan chalet yang terlibat dalam pembuangan sisa kumbahan ke laut dan siasatan masih dilakukan sebelum tindakan susulan diambil kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri akan mengeluarkan kompaun sekiranya kesalahan berpunca daripada operator resort mahupun chalet yang beroperasi di pulau berkenaan.

"Kejadian akhir bulan lalu merupakan kejadian kedua di Pulau Perhentian dan tindakan akan diambil terhadap pengusaha tidak kira sama ada di Pulau Perhentian mahupun Pulau Redang, sekiranya mereka didapati membuang sisa kumbahan mereka ke laut.

Ariffin Deraman (tengah) semasa sidang media  sempena Program Jom Heboh Terengganu di Wisma Darul Iman. FOTO Ghazali Kori
Ariffin Deraman (tengah) semasa sidang media sempena Program Jom Heboh Terengganu di Wisma Darul Iman. FOTO Ghazali Kori

"Jun lalu, kejadian sama turut berlaku di Pulau Perhentian dan kes sudah disiasat manakala kompaun akan dikeluarkan kepada pengusaha resort serta chalet yang terbabit," katanya pada sidang media selepas mesyuarat EXCO di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Menurutnya, selain meningkatkan sistem kumbahan di kedua-dua pulau peranginan itu, kerajaan negeri juga membelanjakan RM30 juta dalam meningkatkan infrastruktur di pulau-pulau berkenaan.

Contoh, kerajaan negeri giat menaik taraf bekalan elektrik dan memasang kabel fiber Internet dari daratan ke pulau.

Beliau berkata, berkaitan isu bekalan air yang mana paip dasar laut mengalami kebocoran, kerajaan negeri turut meminta bantuan Kerajaan Pusat dalam menangani permasalahan itu.

Tambahnya, berbalik kepada isu kumbahan, pertambahan resort dan chalet membuatkan sesetengah tempat di pulau berkenaan sukar mengendalikan sisa kumbahan mereka.

"Kawasan pulau tidak seperti tasik sekiranya berlaku pencemaran sisa kumbahan. Ini kerana, kawasan pulau dikelilingi laut lepas yang luas berbanding tasik.

"Tanah di kawasan pulau hampir penuh dan masih ada pihak-pihak yang datang bertemu kami (kerajaan) untuk membina resort atau chalet namun memandangkan keadaan tanah yang hampir penuh, kami menolaknya," katanya.

Terdahulu, 40 pelancong terdiri daripada 27 dewasa dan 13 kanak-kanak yang bercuti di Pulau Perhentian Kecil dilaporkan jatuh sakit selepas berenang di perairan pulau itu.

Menurut laporan, sebahagian mereka mengalami cirit-birit dan demam panas sejurus pulang.

Beberapa orang pula dimasukkan ke hospital manakala seorang kanak-kanak berusia setahun disahkan menghidap kepialu dan dua lagi kanak-kanak mengalami keracunan darah.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 1:49 PM