GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad.


Johor Bahru : Seramai 12 individu ditahan dalam serbuan sebuah premis yang menjalankan perkhidmatan seks untuk golongan gay di Taman Pelangi di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, serbuan jam 9.30 malam itu dilakukan cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan bersama anggota polis dari Balai Polis Taman Pelangi.

Katanya, dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 30 tahun mengaku bekerja sebagai penjaga premis ditahan.

"Lelaki itu gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah. Hasil pemeriksaan lanjut di dalam premis itu, pasukan menahan dua lelaki tempatan dan tujuh lelaki warga asing berumur dalam lingkungan 20 tahun hingga 40 tahun yang bekerja sebagai tukang urut.

"Turut ditahan, dua lelaki tempatan berumur 25 tahun dan 32 tahun yang disyaki sebagai pelanggan untuk mendapatkan khidmat urut dan seks," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Raub, pelbagai peralatan yang dipercayai bagi kegunaan khidmat urut dan seks dirampas.

Antaranya, dua tuala, dua botol minyak urut, enam keping kondom pelbagai jenama, satu tiub pelincir, sehelai kertas mempunyai catatan aktiviti pekerjaan, empat keping gambar iklan lelaki dan wang tunai sebanyak RM139.

"Semakan rekod pergerakan keluar dan masuk ke Malaysia terhadap tujuh asing yang ditahan mendapati salah satu daripadanya tidak mempunyai pasport perjalanan yang sah.

"Kesemua yang ditahan dan dikompaun, penjaga premis sebanyak RM10,000, manakala pelanggan dikompaun sebanyak RM 2,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 4," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (UUKTPP), Seksyen 372 B Kanun Keseksaan dan 55B Akta Imigresen dan 6 (1) (c) Akta Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 9:14 AM