Antra wanita asing yang ditahan dalam Op Noda di Johor Bharu, semalam. - Foto Ihsan PDRM
Antra wanita asing yang ditahan dalam Op Noda di Johor Bharu, semalam. - Foto Ihsan PDRM
Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS menyelamatkan 10 wanita warga asing yang disyaki dieksploitasi untuk tujuan seksual bekerja sebagai tukang urut dalam Op Noda di sekitar bandar raya Johor Bahru, Johor, semalam.

Lapan wanita warga Vietnam dan dua wanita China berusia antara 16 hingga 34 tahun itu ditahan dalam lima serbuan pusat urut dan satu serbuan di sebuah pub bermula 8 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dalam Op Noda dianggotai 10 pegawai dan 42 anggota JSJ negeri, pihaknya turut merampas beberapa barangan termasuk wang tunai RM7,760.

"Kita menahan sembilan lelaki yang juga penjaga premis berusia antara 28 hingga 55 tahun kerana didapati menjalankan kegiatan rumah urut dan pusat hiburan tanpa lesen yang sah.

"Malah, mereka disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit, " katanya.

Menurutnya, tangkapan juga dibuat terhadap wanita yang bekerja sebagai tukang urut iaitu tujuh warga Thailand, 20 wanita Vietnam dan tiga wanita Indonesia berusia antara 18 hingga 28 tahun yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, turut ditahan 11 lelaki tempatan dan enam lelaki Singapura yang juga pelanggan premis berusia antara 23 tahun hingga 41 tahun, namun mereka dibebaskan selepas dirakam percakapan bagi membantu siasatan polis.

"Kita turut merampas 77 keping kondom, 27 botol minyak urut, 20 tuala dan lapan gulung tisu sebagai bahan bukti pendakwaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 6:23 PM