Antara barangan pusat hiburan yang dirampas dalam serbuan di Pusat Perdagangan Kebun Teh, malam tadi. FOTO IHSAN POLIS
Antara barangan pusat hiburan yang dirampas dalam serbuan di Pusat Perdagangan Kebun Teh, malam tadi. FOTO IHSAN POLIS
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Seramai 25 individu termasuk 10 wanita warga tempatan yang leka berhibur dikompaun RM145,000 dalam satu serbuan di sebuah premis hiburan di Pusat Perdagangan Kebun Teh di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, serbuan jam 1 pagi itu dilakukan anggota Balai Polis Larkin bersama Cawangan Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bahagian Siasatan Jenayah IPD JBS.

Katanya, turut ditahan seorang lelaki berumur 22 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis.

"Seramai 24 pelanggan dikompaun masing-masing RM5,000 setiap seorang, manakala penjaga premis dikompaun RM25,000 membabitkan nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan ialah RM145,000.

"Ketika serbuan dijalankan, polis mendapati premis berkenaan beroperasi dengan muzik yang dimainkan dengan kuat dan pelanggan sedang menikmati minuman keras sambil berhibur," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Raub, pemeriksaan mendapati penjaga premis gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah dan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 3:06 PM