Polis menahan 147 individu di sebuah pusat hiburan di Taman Ekoflora, Johor Bahru. FOTO Ihsan Polis
Polis menahan 147 individu di sebuah pusat hiburan di Taman Ekoflora, Johor Bahru. FOTO Ihsan Polis
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Polis menahan 147 individu termasuk seorang wanita warga asing dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Ekoflora, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, menerusi Op Hiburan yang dijalankan, kesemua berusia 18 hingga 53 tahun didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), selain premis beroperasi tanpa lesen yang sah.

Katanya, terdahulu, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik bersama Team Taskforce Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS membuat serbuan dan pemeriksaan di premis itu, sekitar 10.30 malam.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menahan 51 wanita tempatan, 95 lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing. Seorang daripada lelaki tempatan mengaku bekerja sebagai penjaga premis.

"Semakan rekod terhadap wanita warga asing yang ditahan itu mendapati berkahwin dengan seorang lelaki tempatan dan dokumen pengenalan diri masih sah.

"Peralatan yang dirampas antaranya tiga resit perniagaan, satu mikrofon bertulisan Duretes, satu sound mixer jenama Alto Professional dan satu profesional Power Amplifier.

"Kesemua yang ditahan dikenakan kompaun mengikut peraturan 17 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar SOP Fasa 4 PPN yang mana penjaga premis dikompaun RM25,000, manakala setiap seorang pelanggan premis dikompaun RM5,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Negeri Johor.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi SOP ditetapkan dan sekiranya terdapat pelanggaran yang dilakukan tindakan tegas akan diambil.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat kepada polis IPD Johor Bahru Selatan di talian hotline 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 12:06 AM