Zaid Salim

Kuala Nerus: Sebanyak 4,000 kit ujian kendiri Covid-19 disediakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai persediaan bagi mengawal penularan wabak berkenaan di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri sudah menerima peralatan berkenaan untuk digunakan bagi mengesan jangkitan wabak di kalangan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.

"Bagaimanapun, kita hanya menggunakan peralatan ini (kit ujian kendiri) terhadap mangsa banjir yang bergejala sahaja," katanya ketika meninjau fenomena air pasang besar di Pantai Miami Seberang Takir, di sini, malam ini.

Katanya, fasa pertama banjir, sebanyak lapan PPS dibuka membabitkan dua di daerah ini, lima di Setiu dan satu di Besut membabitkan 174 mangsa daripada 58 keluarga.

Rosman berkata, pihaknya juga menyediakan bilik isolasi di semua PPS bagi menempatkan mangsa banjir yang bergejala.

"Bagaimanapun, setakat ini belum ada mangsa yang bergejala di lapan PPS berkenaan.

"Mangsa banjir juga perlu melalui proses pengambilan suhu badan serta diberikan pelitup muka sebelum membuat pendaftaran masuk di semua PPS," katanya.

MOHD Rosman (kiri) memantau keadaan ombak berikutan fenomena air pasang besar di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir. FOTO Ghazali Kori
MOHD Rosman (kiri) memantau keadaan ombak berikutan fenomena air pasang besar di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir. FOTO Ghazali Kori

Dalam pada itu katanya, trend banjir di tiga daerah terbabit iaitu Kuala Nerus, Setiu dan Besut semakin pulih berikutan cuaca yang semakin baik.

Beliau berkata, trend paras air di beberapa batang sungai yang sebelum ini meningkat juga menunjukkan trend penurunan.

"Keadaan cuaca semakin baik dan hujan juga sudah berhenti dan kita menjangkakan malam ini akan berlaku pertambahan mangsa banjir yang dipindahkan berikutan fenomena air pasang besar, namun sebaliknya apabila tiada berlaku pertembungan hujan dan angin.

"Saya berharap keadaan ini berterusan. Bagaimanapun ramalan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), hujan lebat berterusan dijangka berlaku sehingga esok," katanya.

Justeru itu, penduduk di kawasan rendah dinasihatkan sentiasa berwaspada dan berada dalam keadaan berjaga-jaga dan berpindah segera sekiranya perlu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 12:34 AM