IDRIS Haron. FOTO Arkib NSTP
IDRIS Haron. FOTO Arkib NSTP
Hassan Omar

Melaka: Menjelang pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan diadakan malam esok, dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dipertimbangkan menyertai parti komponen PH masih belum menerima isyarat daripada Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Adun Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) masih belum menerima undangan untuk menghadiri pengumuman penyertaan mereka ke dalam parti komponen PH.

Idris berkata, setakat ini, beliau tidak menerima sebarang isyarat daripada Anwar, terutama aspek untuk menghadiri program pengumuman penyertaan ke dalam PH, apatah lagi pengumuman calon PH bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.

"Kami mengharapkan yang terbaik untuk semua pihak dan berdasarkan pengalaman saya mengetuai Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pengumuman calon hanya dibuat pada saat akhir.

"Hingga ke tahap hampir-hampir penamaan calon, barulah calon yang sebenarnya diumumkan," katanya dihubungi hari ini.

Diminta mengulas desas-desus beliau dan Nor Azman akan menyertai PKR, Idris berkata, beliau tidak tahu bagaimana desas-desus itu boleh timbul sedangkan beliau sendiri tidak tahu-menahu mengenainya.

"Dalam politik kita harus berhati-hati, jangan sampai kita tersalah langkah kerana kita tidak seharusnya mendahului mana-mana pihak," katanya.

Sementara itu, Nor Azman berkata, beliau tetap menaruh harapan untuk diterima menjadi ahli parti komponen itu tetapi setakat ini belum menerima apa-apa isyarat daripada Anwar.

"Saya tetap buat kerja rutin sebagai wakil rakyat dan walaupun sudah dipecat daripada Umno, kerja tetap kerja.

"Pengundi sekarang bukan macam pengundi zaman 70-an atau 80-an, mereka sangat bijak membuat penilaian wakil rakyat yang buat kerja dan yang hanya cakap kosong macam tin kosong," katanya.

Beliau berkata, hati pengundi tidak mampu dibaca oleh sesiapa pun tetapi beliau yakin keyakinan mereka terhadap seseorang calon PRN mampu diraih melalui keikhlasan bekerja semata-mata untuk rakyat.

Semalam, Pengerusi PH Melaka Adly Zahari dilaporkan berkata, penerimaan PH terhadap kedua-dua bekas Adun terbabit masih samar kerana PH negeri belum mendapat pengesahan rasmi daripada Majlis Presiden PH sama ada menerima penyertaan mereka ke dalam parti komponen PH atau sebaliknya.

Isnin lalu, Anwar dilaporkan berkata, nasib Idris dan Nor untuk bertanding mewakili PH pada PRN Melaka masih dalam perbincangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 5:13 PM