LIM Guan Eng. FOTO arkib NSTP
LIM Guan Eng. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Parti komponen Pakatan Harapan (PH), DAP hari ini memperkenalkan dua muka baharu yang akan diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini di samping mengekalkan enam penyandang.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada majlis pengumuman calon parti itu secara maya berkata, Muhamad Danish Zainudin, 25, dicalonkan bertanding di kerusi Pengkalan Batu manakala Leng Chau Yen, 37, di kerusi Bandar Hilir.

"DAP bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), (dan) enam (penyandang) dikekalkan dan dua muka baharu akan dicalonkan," katanya.

Enam penyandang yang dikekalkan ialah G Saminathan bagi DUN Gadek, Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Damian Yeo Shen Li (Duyong), Tey Kok Kiew (Bemban) dan Low Chee Leong (Kota Laksamana)

Bekas ADUN Bemban, Dr Wong Fort Pin tidak mempertahankan kerusi DUN Bemban kali ini dan digantikan oleh Tey.

Mengenai dua calon muka baharu yang diketengahkan pada PRN berkenaan, Lim berkata DAP memberi laluan kepada Muhamad Danish yang merupakan setiausaha politik kepada Yeo dan Leng yang juga setiausaha politik kepada Tey, sebagai calon muda mewakili parti.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan itu mengakui PRN kali ini akan dilalui dalam keadaan sukar berikutan kekangan pandemik.

"Tetapi sungguh pun kita menghadapi pelbagai rintangan, kita akan terus berusaha untuk bersama dengan pengundi bagi memastikan kita mencipta satu sejarah di Melaka iaitu mendapat mandat (untuk) kerajaan PH," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.

PRN itu diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli DUN (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 5:51 PM