Idris (kiri) dan Nor Azman. Foto NSTP
Idris (kiri) dan Nor Azman. Foto NSTP
Hassan Omar

Melaka: Dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dipecat Umno sah menyertai parti komponen Pakatan Harapan (PH), PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Bekas Adun Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan berkata, beliau dan bekas Adun Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron, masing-masing menyertai satu daripada parti berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan parti yang disertainya sama ada PKR atau Amanah, manakala Idris gagal dihubungi.

Nor Azman, 57, berkata, Majlis Presiden PH sudah mengesahkan penerimaan beliau dan Idris, 55, ke dalam parti komponen itu dan pengumuman mengenai kerusi yang bakal ditandingi mereka akan dibuat Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

"Tunggu pengumuman Datuk Seri Anwar esok," katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau mengulas kenyataan Anwar pada sidang medianya malam ini yang antara lain mengenai PKR menerima keahlian seorang bekas Adun yang dipecat Umno dan Amanah menerima keahlian seorang lagi.

Anwar dipetik berkata, penerimaan kedua bekas Adun terbabit disempurnakan selepas perbincangan panjang lebar dalam Majlis Presiden PH.

Empat Adun kerajaan menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Oktober lalu.

Selain Idris dan Nor Azman, turut menarik sokongan adalah Adun Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Bagaimanapun, Majlis Presiden PH enggan menerima keahlian Norhizam ke dalam mana-mana parti komponen PH, manakala nasib Noor Effandi masih tidak diketahui setakat ini.

Keempat-empat mereka itu dilaporkan sudah beberapa kali bertemu Anwar selepas mengumumkan penarikan sokongan kepada Sulaiman.

Mereka menerima pelbagai tawaran daripada pemimpin pelbagai parti terutama parti komponen PH tetapi menunggu waktu paling sesuai untuk mengumumkan parti yang bakal disertai menjelang penamaan calon pada Isnin ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Nor Azman yang ketika itu mewakili Barisan Nasional (BN) menewaskan Juhari Osman dari Amanah dan Abdul Halim Maidin (PAS) dengan majoriti 772 undi.

Idris pula menewaskan Mohd Lokman Abdul Gani (PKR) dengan majoriti 2,229 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 10:13 PM