IDRIS ketika sidang media selepas perjumpaan PH di Hotel Muzaffar, Ayer Keroh, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
IDRIS ketika sidang media selepas perjumpaan PH di Hotel Muzaffar, Ayer Keroh, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
Amir Mamat


Ayer Keroh: Bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron menyerahkan nasib dan nyawa politiknya kepada Pakatan Harapan (PH) dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang itu berkata, meskipun faham mengenai perubahan budaya dalam politik, beliau bersama tiga lagi Adun akan tetap bersama PH dengan menyerahkan nasib politik mereka pada masa hadapan.

"Saya dan rakan-rakan bagai orang mendatang, kami tidak mahu jadi melukut di tepi gantang, masuk tak menambah, keluar tak berkurang.

"Kami faham parti ini sudah ada orang (calon PRN), kami tidak mahu berbicara (sebut) mengenainya, (kerana) kami serahkan nasib kami kepada PH Melaka dalam PRN akan datang," katanya selepas menghadiri perjumpaan ahli PKR Melaka bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini malam ini.

Ini adalah kali pertama Idris berdiri di pentas PH untuk berucap selepas bersama tiga lagi Adun mengumumkan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sekali gus menyebabkan kerajaan negeri Melaka yang diterajui Umno, tumbang.

Selain Idris, bekas Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; bekas Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan bekas Adun Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan turut hadir pada program terbabit.

Mengulas lanjut, Idris berkata beliau bersama tiga rakannya itu masih belum sebarang keputusan mengenai hala tuju politiknya, meski pun mendakwa pernah menerima beberapa lamaran daripada parti komponen PH sebelum ini.

Menurutnya, semangatnya untuk terus berjuang dalam politik semakin membara selepas menjalinkan kerjasama dengan PH sejak hampir kira-kira dua minggu lalu.

"Suasana dalam dewan tadi membuktikan mereka menerima saya. Apabila saya bangun dan mendapat sokongan macam itu, saya rasa saya dah mula berada dalam keluarga besar PH.

"Tak ada sebarang cemuhan, boo (jeritan) atau tuduhan (ke atas saya) sebagai pengkhianat , tiada di sebelah sini. Nampaknya saya mula rasa seolah-olah sudah berada dalam satu keluarga besar PH ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, kehadiran Idris bersama tiga Adun berkenaan adalah atas jemputan pihaknya.

"PH Melaka cuba bina `khemah besar' dalam perjuangan ini dan kehadiran empat bekas Adun berkenaan memberi semangat kepada kami untuk merealisasikannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 12:18 AM