Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Selepas kira-kira tiga minggu berada dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Sabah kini layak untuk beralih ke Fasa 4 PPN.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun dalam kenyataan petang ini, berkata peralihan fasa dijadualkan pada Isnin depan.

"Sabah layak beralih ke Fasa 4 PPN berkuat kuasa pada 8 November ini. Walaupun lebih banyak kelonggaran diberikan di bawah Fasa 4, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu diteruskan," katanya.

Sabah beralih ke Fasa 3 PPN sejak 18 Oktober lalu yang menyaksikan beberapa kelonggaran diberikan kepada penduduk, antaranya kebenaran rentas daerah yang diawalkan sejak 14 Oktober, manakala rentas negeri bermula 1 November lalu.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, berkata jangkitan baharu Covid-19 di Sabah menurun 101 kes kepada 554 kes, hari ini berikutan penurunan kes di kebanyakan daerah berbanding 655 kes yang dilaporkan, semalam.

"Lebih banyak daerah mencatat penurunan kes berbanding yang mencatat pertambahan kes dengan Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi hari ini iaitu 76 kes dengan peningkatan tujuh kes berbanding 69 kes yang dilaporkan semalam.

"Bagaimanapun, 72 daripada kes itu didaftar lewat antara dua hingga tiga hari selepas keputusan saringan diketahui dan empat kes lagi didaftar lewat melebihi tiga hari.

"Bagi keseluruhan negeri, sebanyak 303 kes atau 54.7 peratus adalah kes yang berlaku dan didaftar dalam tempoh 24 jam yang lalu," katanya.

Masidi berkata, sebanyak 97 peratus daripada 554 kes hari ini adalah 'kes ringan' yang tidak memerlukan rawatan di hospital, masing-masing 101 orang dalam Kategori 1 dan 438 orang dalam Kategori 2.

Sementara itu, dua daerah mengekalkan rekod sifar kes sejak semalam iaitu Tongod dan Kalabakan, manakala tujuh daerah mencatat kes satu angka iaitu Sipitang (sembilan), Kuala Penyu (lapan), Sandakan (enam), Telupid (lima), manakala masing-masing tiga kes di Semporna, Kunak dan Nabawan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 4:51 PM