Masidi Manjun
Masidi Manjun
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Penduduk Wilayah Persekutuan Labuan yang merentas negeri ke Sabah tidak perlu lagi menjalani ujian saringan Covid-19 berkuat kuasa semalam.

Kelonggaran itu diberikan dalam prosedur operasi standard (SOP) baharu berikutan peralihan Sabah ke Fasa 4, Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula kelmarin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri bagaimanapun masih mengekalkan syarat ujian saringan bagi kemasukan dari negeri lain.

Katanya, semua individu yang masuk ke Sabah dari Semenanjung, Sarawak dan luar negara sama ada melalui pintu masuk udara, laut dan darat masih perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan dengan hanya keputusan negatif dibenarkan masuk.

"Hanya individu dari Wilayah Persekutuan Labuan yang masuk ke Sabah tidak perlu menjalani ujian saringan Covid-19 seperti yang diwajibkan sebelum ini.

"Bagi individu dari Sabah ke Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, ia tertakluk kepada ketetapan dan syarat kemasukan yang ditetapkan pihak berkuasa negeri masing-masing.

"Individu dari Sabah ke Semenanjung bagaimanapun tidak perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum berlepas dari Sabah berdasarkan ketetapan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata, semua kakitangan awam persekutuan di Sabah ditetapkan hadir bekerja seperti biasa dalam Fasa 4 PPN, manakala bagi kakitangan awam negeri dan pekerja swasta, kehadiran ke pejabat adalah berdasarkan jumlah yang sudah divaksin.

SOP Fasa 3 PPN sebelum ini menetapkan 80 peratus kakitangan awam persekutuan hadir ke pejabat, manakala 90 peratus kehadiran dibenarkan bagi kakitangan awam negeri.

Masidi berkata, kelonggaran untuk mengadakan mesyuarat yang diberikan sebelum ini turut ditingkatkan kepada 50 peratus kapasiti bilik mesyuarat, berbanding hanya 50 orang maksimum sebelum ini.

"Majlis sosial dibenarkan dalam Fasa 4 PPN tetapi dihadkan kepada 50 peratus kapasiti ruang.

"Aktiviti mendaki bukit juga ditingkatkan kepada 50 peratus kapasiti berbanding maksimum 30 orang yang ditetapkan sebelum ini.

"Begitu juga kehadiran penonton di stadium ditingkatkan kepada 50 peratus daripada kapasiti stadium berbanding hanya 30 peratus sebelum ini," katanya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri menyerahkan kepada Kementerian Pendidikan bagi urusan pembukaan sekolah untuk pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 8:56 AM