GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Semua kluster Covid-19 yang pernah diisytiharkan di Sabah sebelum ini sudah ditamatkan selepas tiada lagi kes baharu berkaitan kluster terbabit direkodkan.

Bagi tahun ini saja, lebih 40 kluster Covid-19 dilaporkan dengan kebanyakannya membabitkan jangkitan dalam institusi pendidikan diisytiharkan di seluruh negeri sejak Januari lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata semua kluster terbabit sudah ditamatkan dengan yang terakhir Kluster Jalan Tambalang di daerah Tuaran diisytiharkan tamat hari ini.

"Kluster Jalan Tambalang, Tuaran ditamatkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) hari ini. Ini bermakna tiada lagi kluster yang aktif di Sabah," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Kluster Jalan Tambalang itu yang dikategorikan dalam kumpulan golongan berisiko diisytiharkan pada Februari lalu di sebuah rumah kebajikan di daerah Tuaran.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata statistik jangkitan Covid-19 di Sabah hari ini menyaksikan penurunan 21 kes baharu kepada 101 kes berbanding 122 kes yang dilaporkan semalam.

Katanya, sebanyak 13 daerah mencatat penurunan jangkitan berbanding tujuh daerah yang mencatat pertambahan kes baharu, manakala tujuh daerah lagi kekal sebagaimana catatan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 9:56 PM