Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Polis Perak melupuskan pelbagai barang kes dan dadah bernilai RM58 juta membabitkan 4,991 kertas siasatan yang sudah diselesaikan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Mazlan Santarai berkata, semua barang kes dan dadah terbabit termasuk kes sudah selesai perbicaraan sejak 1988 hingga tahun ini.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar semua eksibit dadah terbabit kepada di Syarikat Pelupusan Sisa Pepejal Sisa Pepejal Kualiti Alam Sdn Bhd di Bukit Pelanduk di Negeri Sembilan, hari ini.

"Sebanyak 15 daerah terbabit dengan pelupusan dadah pada tahun ini iaitu Ipoh, Taiping, Manjung, Hilir Perak, Tapah, Kuala Kangsar, Batu Gajah, Sungai Siput, Muallim, Kampar, Gerik, Kerian, Pengkalan Hulu, Selama dan Perak Tengah.

"Antara dadah dilupuskan adalah heroin (413.6 kilogram), ganja (699.9kg), syabu (34.45kg), ketamin (1.276kg), ekstasi (21.86g), pil khayal (0.41 gram, Eramin 5 (57.05g), daun ketum (2.77kg), cecair ketum (1,703 liter), ubat batuk (43.5 ml), Monoacetylmorphine (392.76g), heroin Monoacetylmorphine (39.68g) dan lain-lain dadah (411.5kg)," katanya pada sidang media pada Program Pelupusan Eksibit Dadah Kontinjen Perak di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) hari ini.

MAZLAN (tengah) menunjukkan ubat batuk yang dirampas untuk dilupuskan pada Program Pelupusan Eksibit Dadah Kontinjen Perak. FOTO Sharul Hafiz Zam
MAZLAN (tengah) menunjukkan ubat batuk yang dirampas untuk dilupuskan pada Program Pelupusan Eksibit Dadah Kontinjen Perak. FOTO Sharul Hafiz Zam

Dalam pada itu, Mazlan berkata, bermula 1 Januari hingga September lalu, Polis Perak mengambil tindakan kepada 1,752 orang bagi pengurangan bekalan dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pada masa sama, seramai 3,721 orang diambil tindakan bagi pembanterasan ke arah pengurangan permintaan memiliki dadah.

"Dalam tempoh sama, sebanyak 3,777 kertas siasatan yang dibuka mengikut Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun.

"Daripada jumlah terbabit, sebanyak 3,543 kertas siasatan dituduh iaitu pencapaian sebanyak 94 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 12:45 PM